PESOHOR hiburan Indonesia, Bunga Citra Lestari dilaporkan akan menamatkan zaman jandanya dalam masa terdekat, selepas pemergian suami, Ashraf Sinclair empat tahun lalu.

Bunga atau BCL akan menikah kali kedua dengan kekasihnya, Tiko Aryawardhana, pada 2 Disember 2023 di Bali. 

Rencana perkahwinan mereka terbongkar selepas pihak jabatan agama yang bertanggungjawab mengesahkan permohonan pernikahan BCL dan Tiko.

Meski tidak mengesahkan fakta tersebut secara rasmi, menjelang hari memulakan ‘hidup baharu’, BCL dilihat melakukan beberapa perubahan.

Antara yang paling ketara apabila penyanyi tersebut telah menukar nama akaun Instagramnya, @bclsinclair kepada @itsmebcl.

Wanita berusia 40 tahun itu selama ini menggunakan nama @bclsinclair yang merupakan gabungan namanya dengan nama keluarga Allahyarham Ashraf Sinclair.

Namun kini BCL menggunakan nama pengenalan @itsmebcl di akaun IG yang mempunyai 23.3 juta pengikut.

BCL bagaimanapun dilihat tidak menghapus foto atau video momen lampau bersama mantan suaminya itu di IG.

Malah dalam temu bual bersama media tempatan, BCL mengaku dia bukan sudah move on hanya kerana ingin menikah lagi, tetapi mencari bahagia buat diri dan anak tunggal bersama Ashraf, Noah.

“Kalau move on (dari kesedihan) rasanya sampai bila pun tidak boleh, tapi bagaimana kita mampu hidup dan bahagia kembali. Anak juga perlu bahagia,” ujar BCL.

* Artikel asal disiarkan di Gempak.com