Skip to main content

Teknologi

Korea Selatan aktifkan sistem amaran kesan telefon pintar disorok calon peperiksaan

Langkah ini berjaya mengesan puluhan telefon pintar dalam 111 kes pelanggaran peraturan, termasuk lima kes penggunaan peranti pintar semasa peperiksaan. -Foto Amanz
Langkah ini berjaya mengesan puluhan telefon pintar dalam 111 kes pelanggaran peraturan, termasuk lima kes penggunaan peranti pintar semasa peperiksaan. -Foto Amanz

Ringkasan AI

  • Korea Selatan mengaktifkan sistem amaran kecemasan kebangsaan tiga kali semasa Peperiksaan Kemasukan Universiti untuk mengesan peranti elektronik tersembunyi calon.
  • Langkah ini berjaya mengesan puluhan telefon pintar dalam 111 kes pelanggaran peraturan, termasuk lima kes penggunaan peranti pintar semasa peperiksaan.
  • Calon yang menipu menggunakan teknologi AI boleh dilarang menduduki CSAT sehingga 10 tahun dan berdepan tindakan undang-undang.
Advertisement

SEOUL: Korea Selatan mengaktifkan sistem amaran kecemasan kebangsaan sebanyak tiga kali sepanjang Peperiksaan Kemasukan Universiti atau College Scholastic Ability Test (CSAT) pada Khamis bagi mengesan telefon pintar serta peranti elektronik yang disembunyikan oleh calon, lapor Amanz.

Langkah luar biasa yang membabitkan seramai 551,864 calon itu membuahkan hasil apabila puluhan telefon pintar yang tidak diserahkan berjaya dikesan menerusi amaran berkenaan, sebahagian daripada 111 kes pelanggaran peraturan membabitkan pemilikan atau penggunaan peranti elektronik terlarang.

Daripada jumlah itu, lima kes membabitkan penggunaan atau pemilikan peranti pintar ketika peperiksaan, termasuk cermin mata pintar, kamera mini, fon telinga tanpa wayar dan telefon pintar.

Advertisement

Tindakan tegas tersebut menyusul selepas kebimbangan meningkat terhadap penipuan peperiksaan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), termasuk pengakuan seorang peserta peperiksaan akauntan cukai kebangsaan yang menggunakan kamera mini, telefon pintar dan AI generatif untuk memperoleh markah tinggi.

Media tempatan melaporkan operasi berkenaan dipertingkatkan selepas arahan oleh Lee Jae Myung supaya langkah pencegahan tambahan dilaksanakan bagi membendung penipuan berteknologi tinggi.

Advertisement

Sistem amaran kecemasan itu lazimnya digunakan untuk memberi amaran awal bencana alam seperti banjir, taufan dan gempa bumi.

Dalam operasi tersebut, amaran dihantar terus ke telefon yang dihidupkan dan menghasilkan bunyi walaupun peranti ditetapkan kepada mod senyap.

Keadaan itu membolehkan pengawas peperiksaan mengesan serta-merta lokasi telefon pintar yang cuba disorokkan di dalam dewan peperiksaan tanpa menjejaskan perjalanan ujian.

Penggunaan sistem amaran kebangsaan bagi tujuan bukan kecemasan di seluruh negara mencerminkan kesungguhan kerajaan Korea Selatan dalam memelihara integriti peperiksaan yang menjadi penentu utama kemasukan ke universiti.

Sebagai langkah tambahan, kerajaan Korea Selatan memaklumkan bahawa calon yang didapati menipu menggunakan AI boleh dikenakan larangan menduduki CSAT sehingga 10 tahun selain berdepan tindakan undang-undang bergantung kepada kesalahan yang dilakukan.

Must Watch Video

Advertisement