PASANGAN pelakon, Farid Kamil dan Diana Dianelle, kembali mengejutkan peminat apabila muncul bersama buat pertama kali dalam sebuah majlis beberapa hari lalu, selepas masing-masing sah bercerai pada 10 Ogos lalu.

Kemudian, pasangan tersebut kembali menuai perhatian netizen dengan menghadiri acara hiburan Karnival Mega Suria yang diadakan di Petaling Jaya, Selangor semalam.

Menerusi laporan media, mereka mengakui bakal kembali bersama dan akan hadir ke mahkamah bagi tujuan rujuk semula.

Sungguhpun merancang untuk menyelesaikan hal itu secepat mungkin, namun Diana menegaskan yang mereka tidak berada dalam fasa tergesa-gesa kerana semuanya perlu berjalan mengikut proses yang ditetapkan.

Tambah Diana lagi, mereka tidak pernah berhenti berdoa, selain tidak tahu yang ini merupakan pengakhirannya kerana setiap hal telah ditentukan oleh Allah SWT.

Meninjau hantaran yang dihantar oleh pengguna media sosial di platform X, rata-rata memberikan respons positif terhadap Diana dan Farid.

Terdahulu, Diana dan Farid sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor selepas 11 tahun usia perkahwinan.

Proses perceraian dijalankan menerusi aplikasi Google Meet. -Gempak