BEKAS penyampai radio, Ismahalil Hamzah tidak dapat menahan sebak lalu membuat sujud syukur selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan daripada pertuduhan mengedar dadah dua tahun lalu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian terhadap pengasas `Bapakku FM' itu selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaannya.

Mengikut pertuduhan, Ismahalil, 50, didakwa mengedar kanabis seberat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju pukul 5.35 petang pada 27 Ogos 2021.

Berikutan itu, pendakwaan mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Sepanjang prosiding perbicaraan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad manakala Ismahalil diwakili peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar.

Sebelum ini Ismahalil yang merupakan saksi pembelaan pertama memberitahu mahkamah bilik tingkat atas kediamannya di Jalan Semarak di sini iaitu tempat dadah ditemukan ketika serbuan polis, bukan digunakannya secara eksklusif, sebaliknya turut diakses oleh pihak lain.

Tertuduh menjelaskan, bilik tersebut turut digunakan oleh sekumpulan Deejay dan krew stesen radio swasta itu sebelum menunggu giliran untuk `on air' selain turut menjadi ruang persinggahan pihak pengurusan kedai dan tetamu.

Menurutnya bilik itu yang terletak bersebelahan dengan bilik tidur kelamin bebas digunakan oleh para DJ untuk berehat, bersolat dan menyimpan barang peribadi seperti pakaian, beg galas dan komputer riba.

Sementara isteri tertuduh Nor Haslinda Abdul Manaf, 50, yang merupakan saksi pembelaan keempat ketika memberi keterangan turut menyatakan bilik berkenaan digunakan oleh pihak lain.

Bagaimanapun, dalam pernyataan kepada polis, saksi itu berkata, bilik tersebut hanya digunakan oleh suaminya untuk berehat.

Ujar wanita itu, kali terakhir bilik itu dikemas ialah pada 1 Ogos 2021 dan dia tidak memasukinya selepas itu sehingga penangkapan suaminya pada 27 Ogos.

Terdahulu, pada Februari lalu, Ismahalil diperintah membela diri atas pertuduhan itu. Mahkamah memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap pertuduhan itu.

Hakim Muhammad Jamil, berkata, mahkamah mendapati 22 peket dadah yang dijumpai dalam bilik tertuduh (Ismahalil) berada dalam kawalan dan jagaannya.

Untuk rekod, Ismahalil mengaku tidak bersalah atas dakwaan mengedar dadah jenis kanabis seberat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 5.35 petang, 27 Ogos 2021.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39B (1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan. -- Gempak