SHAH ALAM: Dengan jumlah markah sebanyak 68, Nadeera Zaini dinobatkan sebagai juara Big Stage 2023.

Keputusan itu sekali gus menafikan kedudukan pesaing terdekatnya Waode, Putera Muhammad, Hoondoo, Aufahanie dan Puteri Khareeza untuk bergelar juara.

Nadeera berjaya membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000, sebuah single baharu beserta trofi sumbangan Astro.

Waode pula dinobatkan sebagai naib juara dan membawa pulang RM30,000 berserta trofi.

Putera Muhammad pula diumumkan pemenang tempat ketiga dan meraih hadiah wang tunai RM25,000 serta trofi.

Tempat keempat menjadi milik peserta, Hoondoo manakala Aufahanie dan Puteri Khareeza menduduki tempat kelima dan keenam.


Berikut adalah senarai penuh pemenang Big Stage 2023:

Juara: Nadeera Zaini (68.39)

Naib Juara: Waode (64.25)

Tempat ke-3: Putera Muhammad (64.19)

Tempat ke-4: Hoondoo (61.60)

Tempat ke-5: Aufahanie (54.61)

Tempat ke-6: Puteri Khareeza (49.58)

Dominasi Persembahan Terbaik : Aufahanie

Konsert akhir Big Stage 2023 yang dihoskan Elly Mazlien dan Rina Nose turut menampilkan Ajai dan Aina Abdul sebagai juri tetap untuk musim kali ini.

Ajai dan Aina Abdul turut ditemani Maestro terkenal, Datuk Ramli MS selaku juri jemputan dan Jihan Muse selaku Presiden Netizen.

Big Stage minggu akhir berlangsung di Auditorium MBSA dan dipancarkan secara terus di saluran Astro Ria dan boleh distrim menerusi Astro Go.

Antara nama yang pernah dinobatkan sebagai Juara Big Stage adalah Sarah Suhairi (S1), Han Byul (S2), Azzam Sham (S3), dan Elica Paujin (S4).