KUALA LUMPUR: Biarpun tayangan di pawagam terpaksa dihentikan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, perjalanan filem Bulan & Pria Terhebat tidak tamat di situ.

Filem garapan Ghaz Abu Bakar ini akan menemui peminat menerusi saluran 480 Astro First, bermula 11 Mac.

Bagi Ghaz, kehadiran platform penstriman digital dan OTT seperti Astro First disambut baik dan menjadi pemacu semangat untuk mereka terus mengetengahkan karya kepada khalayak.

"Cuma, perkara yang paling merisaukan pengkarya dari sudut isu cetak rompak kerana ia lebih mudah berlaku menerusi platform penstriman digital. Saya berharap pihak pengedar akan memantau secara serius perkara ini.

"Dari satu sudut lain, saya yakin filem ini akan dapat menemui penonton secara lebih menyeluruh apabila ditayangkan menerusi Astro First," katanya.

Meskipun impian untuk melihat filem itu kembali diputarkan di pawagam tidak menjadikan kenyataan, Ghaz percaya, keputusan penerbit untuk menayangkannya di Astro First menyimpan hikmah tersendiri.

"Secara peribadi, saya agak kecewa kerana tidak dapat berkongsi pengalaman mendengar gelak ketawa bersama penonton di pawagam. Namun, saya melihat keputusan menayangkan filem itu di skrin televisyen dari sudut positif.

"Saya juga mengharapkan pandangan daripada semua penonton kerana ia memberikan saya semangat untuk terus berkarya dan menghasilkan karya yang lebih bermutu," katanya lagi.

Bulan & Pria Terhebat ditayangkan pada Mac tahun lalu namun dihentikan susulan pelaksanaan PKP.

Ia hanya sempat ditayangkan selama lima hari di Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam namun filem yang menampilkan Zahirah MacWilson dan Zizan Razak sebagai teraju utama itu menerima pelbagai reaksi positif.