MELAKA: Kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Pas disifatkan berpotensi membuka ruang lebih luas menuju ke Putrajaya sekiranya kedua-dua pihak mampu saling menerima serta memberikan sokongan yang jitu.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, persefahaman antara gabungan berteraskan warna biru dan hijau itu perlu diterjemahkan menerusi sokongan bersama di kawasan yang ditandingi masing-masing.
Menurutnya, kerjasama berkenaan bukan sekadar melibatkan persetujuan politik, sebaliknya menuntut kedua-dua pihak memainkan peranan membantu calon rakan kerjasama dalam pilihan raya.
“Hijau menerima biru, biru mesti menerima hijau. Di mana kita bertanding mereka akan bantu kita. Begitu juga di mana mereka bertanding, kita bantu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya dan Pengenalan Calon BN Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, malam ini.
Zahid berkata, landskap politik semasa memerlukan parti-parti terlibat menyesuaikan pendekatan dan memahami dinamika baharu bagi memastikan kerjasama yang dirancang dapat dilaksanakan.
Beliau menyifatkan kesediaan untuk menerima serta membantu antara satu sama lain sebagai antara faktor penting dalam merealisasikan matlamat politik berkenaan.
“Kalau direalisasikan, terowong ke Putrajaya semakin cerah. Ini dinamika politik,menuntut kita menyesuaikan langkah dengan politik baharu,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta beberapa pemimpin parti komponen BN.