Skip to main content

Politik

PRN Melaka: Manifesto BN diumum seminggu selepas penamaan calon - Ab Rauf

Ab Rauf berkata, manifesto itu akan merangkumi beberapa aspek termasuk ekonomi, pembangunan masyarakat, kebajikan serta sosioekonomi dan sosiopolitik. - Gambar Astro AWANI
Ab Rauf berkata, manifesto itu akan merangkumi beberapa aspek termasuk ekonomi, pembangunan masyarakat, kebajikan serta sosioekonomi dan sosiopolitik. - Gambar Astro AWANI

Advertisement

MELAKA: Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan manifestonya bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 seminggu selepas hari penamaan calon yang ditetapkan pada 31 Oktober ini.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, manifesto itu akan merangkumi beberapa aspek termasuk ekonomi, pembangunan masyarakat, kebajikan serta sosioekonomi dan sosiopolitik.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan tawaran yang bakal diketengahkan, sebaliknya meminta semua pihak menunggu pengumuman rasmi manifesto berkenaan.

“Kita akan ada manifesto seminggu selepas penamaan calon. Kita akan beritahu nanti supaya sama ada ekonomi, pembangunan masyarakat, kebajikan, sosioekonomi dan sosiopolitik juga akan dimasukkan dalam manifesto kita.

“Dia lebih hebat daripada sebelumnya, tiada (istilah) gempak, yang gempak adalah bagaimana kita menguruskan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran jentera pilihan raya dan pengumuman calon BN Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, malam ini.

Dalam perkembangan sama, Ab Rauf mengesahkan BN mempertaruhkan 21 calon bagi kesemua kerusi yang diperuntukkan kepada parti itu, dengan lapan daripadanya merupakan muka baharu.

Antara perubahan yang diumumkan termasuk pertukaran kerusi penyandang DUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin, yang kini bertanding di Sungai Udang.

Beliau menegaskan, pemilihan calon dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor, termasuk keupayaan meneruskan perkhidmatan kepada penduduk serta kesinambungan agenda pentadbiran kerajaan negeri.

Mengulas kerjasama strategik dengan Pas, Ab Rauf berkata, perkara itu perlu diperhalusi di peringkat akar umbi bagi membentuk persefahaman antara UMNO dan Pas.

“Kita mengambil pandangan tersebut untuk dihadamkan di peringkat akar umbi. Jadi, kerjasama ini memberikan satu kaedah penyatuan ke arah yang lebih baik dalam mewujudkan perpaduan antara Pas dan UMNO yang sekian lama telah ditunggu oleh rakyat,” jelasnya.

Beliau berkata, pembahagian kerusi yang dipersetujui menyaksikan BN bertanding di 21 kerusi, manakala tujuh lagi diperuntukkan kepada rakan strategik.

Ujarnya, beliau tidak melihat keperluan untuk berlaku pertembungan antara kedua-dua pihak sekiranya rundingan dan pembahagian kerusi dapat dimuktamadkan berdasarkan persetujuan bersama.

Must Watch Video

Advertisement