Cabaran Fear Factor Malaysia 2 dari minggu ke minggu semakin hebat malah ada peserta yang mengalirkan air mata kerana khuatir tidak mampu menyempurnakan cabaran.

Setelah menyaksikan dua pasangan kumpulan B tersingkir di minggu keempat, kini tinggal enam pasangan sahaja yang akan berentap untuk merebut gelaran juara.

Cabaran untuk pusingan pertama pada minggu ini ialah ‘Letupan Litar’ di mana peserta perlu menggerakkan batang logam berbentuk bulat mengelilingi abjad ‘F.E.A.R’ tanpa menyentuh abjad tersebut.

Jika batang logam itu terkena pada abjad, maka letupan kuat akan berlaku dan pasangan tidak boleh meneruskan cabaran. Pasangan yang berjaya menghabiskan cabaran ini dengan masa terpantas di kira sebagai pemenang.

Bagi cabaran kedua iaitu ‘Roda Ngeri’ , pasangan dikehendaki memutar roda yang mengandungi empat cabaran berlainan dan melakukan cabaran tersebut dalam masa 3 minit. Jika gagal meyempurnakan tugasan ini maka mereka akan disingkirkan.

Manakala bagi cabaran terakhir, ‘Bufet Lendir’, ketabahan mental dan fizikal peserta akan diuji kerana tugasan ini memerlukan mereka mencari 45 biji Strawberry yang diselindungi oleh organ-organ dalaman haiwan yang disajikan di atas ‘conveyer belt’ dalam masa 2 minit tanpa menggunakan tangan. Pasangan yang berjaya untuk pusingan ini akan memenangi RM10,000.

Jadi siapakah yang bakal memenangi RM10,000 minggu ini? Siapa pula yang bakal tersingkir? Sama-sama kita nantikan. -- Astro Gempak