KUALA LUMPUR: Penyanyi Siti Sarah Raisuddin dilaporkan sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM), di sini hari ini.

Berita itu dimaklumkan suaminya, pelawak Shuib Sepahtu menerusi kemas kini di laman Instagram, pagi tadi.

Katanya yang juga seorang usahawan, isterinya dimasukkan ke ICU selepas tahap oksigen semakin tidak stabil, dipercayai akibat jangkitan COVID-19.

“Assalamualaikum salam Jumaat semua. Pagi tadi isteri saya telah dimasukkan ke ICU disebabkan oksigen yang tidak berapa stabil dan keadaan dia yang tidak berapa baik,” demikian tulisnya sambil memuat naik gambar Siti Sarah ketika berada di tanah suci Mekah.

Astro AWANI semalam melaporkan, pelantun lagu 'Kesetiaan' yang sedang sarat mengandung itu dimasukkan ke hospital berkenaan selepas mengalami masalah tahap oksigen menurun, pada petang Rabu.

BACA: Tahap oksigen menurun, Siti Sarah masuk hospital

Sarah dan Shuib sekeluarga positif COVID-19 sejak 25 Julai lalu selepas pembantu rumah mereka dijangkiti wabak tersebut.

Dalam pada itu, Shuib, 36 tahun, turut memohon agar peminat dan orang ramai mendoakan kesembuhan buat isteri tercintanya.

"Saya mohon di hari baik, hari Jumaat doakan Sarah dan anak dalam kandungan. Semoga dipermudahkan urusan dan semoga Allah memberi kekuatan untuk mereka. Semoga Allah merahmati kita semua,” tulis Shuib lagi.

Semakan mendapati rata-rata warganet menzahirkan kata-kata semangat dan mendoakan kesembuhan Siti Sarah yang kini mengandung tujuh bulan. 

Sementara itu, pengurus penyanyi itu, Nana Mohd Rom memaklumkan kepada Astro AWANI, Siti Sarah masih menerima rawatan lanjut di ICU selepas dimasukkan ke unit tersebut sekitar pukul 1 pagi tadi.

Terbaharu, Nana dalam kiriman mesej kepada media memaklumkan majlis bacaan Yasin dan doa secara dalam talian akan diadakan pada 12.30-1.30 tengah hari, hari ini. 

Kenyataan itu memaklumkan, Siti Sarah sedang berada dalam keadaan kritikal dan bertarung nyawa di ICU.

"Ramai maklum keadaannya kini sedang mengandung tujuh bulan dan ini adalah inisiatif kita sebagai rakan-rakan untuk pinjamkan kekuatan kepada Siti Sarah dan juga bayi di dalam kandungannya," katanya.

Difahamkan, majlis yang dipimpin oleh Imam Muda Asyraf itu dihadiri sekurang-kurangnya 92 kenalan Siti Sarah dan Shuib.

Sarah dan Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, berkahwin pada 2011, dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10 tahun, Dzahira Talita Zahra, 8 tahun, dan Ariq Matin, 6 tahun.