KUALA LUMPUR: Penyiar prolifik, Sir David Attenborough, akan menerima anugerah kesatria kedua peribadinya atas jasa dan sumbangan dalam dunia penyiaran.

Beliau yang kali pertama menerima gelaran tersebut pada 1985 oleh Ratu Elizabeth II, bakal menerima gelaran lebih tinggi, Knight Grand Cross of the Order of St Michael And St George.

Menerusi laporan Sky News, penganugerahan itu dikurniakan sebagai tanda terima kasih dan penghargaan atas penerbitan dokumentarinya yang menyentuh tentang pemuliharaan alam sekitar.

Pengurniaan gelaran dilaporkan akan disempurnakan oleh Prince of Wales, Putera Charles, pada majlis penghormatan yang akan disempurnakan di Istana Windsor.

Terdahulu pada sambutan acara Jubli Platinum sempena meraikan 70 tahun pemerintahan Ratu Elizabeth II di atas takhta Britain, wajah David, 96, antara yang dipaparkan dalam pertunjukan pemetaan cahaya di Istana Buckingham.

Malah Duke of Cambridge, Putera William semasa ucapannya pada acara tersebut menyifatkan David sebagai salah seorang pencinta alam sekitar yang berwawasan.

David menyertai stesen televisyen terkenal di Britain, British Broadcasting Corporation (BBC) pada tahun 1952 sebagai penerbit pelatih dan menerima peluang pertamanya menerbitkan siri dokumentari pertamanya berjudul Zoo Quest yang ditayangkan bermula 1954 sehingga 1964.

Kemudian pada 1965, beliau dilantik sebagai pengawal penyiaran dan antara individu penting yang bertanggungjawab memperkenalkan siaran televisyen berwarna di Britain.

Seterusnya beliau dilantik sebagai pengarah program untuk saluran BBC bermula 1969 sebelum membuat keputusan meninggalkan bidang pengurusan pada 1973 dan kembali menerbitkan dokumentari.

Antara dokumentari terkenal yang mendapat sentuhannya termasuk Life on Earth yang diterbitkan pada 1979, The Living Planet (1984), Life of Birds (1998), Life of Mammals (2002) dan Life on David Attenborough: A Life on Our Planet (2020).