Skip to main content

Dunia

Trump, Putin dan Xi Jinping dijangka adakan pertemuan bersejarah tiga hala di China minggu depan

Presiden Donald Trump (kiri) dijangka mengadakan pertemuan tiga hala bersejarah bersama Presiden Vladimir Putin (tengah) dan Presiden Xi Jinping, di luar Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Shenzhen, China minggu depan. - Gambar Reuters
Presiden Donald Trump (kiri) dijangka mengadakan pertemuan tiga hala bersejarah bersama Presiden Vladimir Putin (tengah) dan Presiden Xi Jinping, di luar Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Shenzhen, China minggu depan. - Gambar Reuters
Advertisement

SHENZHEN: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dijangka mengadakan pertemuan tiga hala bersejarah bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Presiden China, Xi Jinping, di luar Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Shenzhen, China minggu depan.

Jurucakap White House, Olivia Wales, berkata pertemuan itu akan berlangsung ketika Trump menghadiri sidang kemuncak APEC yang menghimpunkan 21 negara anggota di bandar raya selatan China itu.

Menurutnya, antara topik utama yang akan dibincangkan ialah usaha mengurangkan senjata nuklear di peringkat global.

Advertisement

"Presiden telah menjelaskan bahawa beliau akan membincangkan pengurangan senjata nuklear di dunia kerana percaya penyebarannya amat berbahaya," katanya kepada pemberita.

Difahamkan, isu Iran turut berkemungkinan dibangkitkan dalam pertemuan yang melibatkan tiga kuasa nuklear terbesar dunia itu, namun konflik di Ukraine tidak dijangka menjadi agenda perbincangan.

Advertisement

Setakat ini, Moscow dan Beijing belum mengulas mengenai pengumuman berkenaan.

Seorang pegawai kanan AS yang enggan dinamakan berkata, tiada sebarang perjanjian dijangka dimuktamadkan hasil pertemuan itu, yang dilihat lebih tertumpu kepada pertukaran pandangan strategik.

Trump dijadual tiba di Shenzhen lewat Rabu bagi menghadiri sidang kemuncak selama dua hari itu.

Beliau turut dijangka mengadakan pertemuan dua hala dengan Jinping pada Khamis, yang merupakan pertemuan keempat antara kedua-dua pemimpin sejak Trump kembali memegang jawatan pada 2025.

"Presiden Trump akan mengakhiri lawatannya ke China dengan menghadiri mesyuarat tiga hala bersama Presiden Republik Rakyat China dan Presiden Persekutuan Rusia," kata Wales.

Beliau berkata lawatan itu, yang turut merangkumi penyertaan Trump dalam Sidang Kemuncak ASEAN di Filipina pada Selasa, bertujuan mengukuhkan kepentingan AS di rantau Indo-Pasifik selain membawa manfaat strategik kepada rakyat Amerika.

Pertemuan itu berlangsung ketika landskap kawalan senjata nuklear global berdepan ketidaktentuan susulan tamatnya perjanjian kawalan senjata nuklear antara AS dan Rusia pada Februari lalu.

Perkembangan itu menyebabkan dua negara yang memiliki senjata nuklear terbesar dunia tidak lagi terikat dengan mekanisme kawalan utama yang sebelum ini membantu meredakan ketegangan era Perang Dingin.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini menggesa kedua-dua negara mencapai kerangka baharu tanpa berlengah.

Bagaimanapun, Trump dilaporkan berpandangan bahawa perjanjian sedia ada boleh digantikan dengan satu mekanisme yang lebih komprehensif dan turut melibatkan China, yang kini sedang memperkukuh keupayaan senjata nuklearnya.

Terdahulu tahun ini, Jinping menjadi tuan rumah kepada Putin dan Trump secara berasingan di Beijing dalam tempoh beberapa hari, manakala Trump pula menerima kunjungan pemimpin China itu di Washington pada September lalu.

Media kerajaan China pada Jumaat melaporkan Jinping akan menghadiri beberapa pertemuan dua hala sempena sidang kemuncak APEC, namun tidak menyebut secara khusus mengenai pertemuan tiga hala tersebut.

Awal bulan ini, agensi berita Rusia, TASS, melaporkan jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, sebagai berkata terdapat "isyarat yang mengesahkan kesediaan" untuk mengadakan rundingan sedemikian sempena sidang kemuncak berkenaan. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement