Bagi ‘Superfans’, tiada apa yang lebih menyeronokkan daripada menyaksikan persembahan “FT” pada malam Isnin.

Daripada mula menyanyi di pentas rancangan realiti One In a Million yang menjadi permulaan titik tolak karier beliau, Ahmad Faizal bin Mohammad Tahir atau lebih dikenali sebagai Faizal Tahir berjaya membawa pentas Dewan Filharmonik Petronas ke alam ekstravagan beliau yang banyak menceritakan tentang keagungan cinta, kedamaian dan semangat mengejar impian.

Dengan kapasiti yang memuatkan seramai 800 penonton, Dewan Filharmonik Petronas kelihatan penuh pada malam itu daripada pelbagai lapisan umur, dan kami juga tertarik untuk menyaksikan sendiri Faizal Tahir: One Night Only di DFP minggu lepas.

Berikut adalah detik-detik kemuncak yang bakal dikenang bagi kami di malam One Night Only Faizal Tahir:

Pemuzik lain yang turut membantu termasuk Lee Sze Wan (kibod), Kee Zulhardnan (gitar), Fauzi “Aji” Semin (giitar utama), Wan Kelly (bass) dan Azim “Jenk” Ali (dram/perkusi).


Malam penuh intensiti

Seorang penghibur yang sudah dikenali keyakinannya di hadapan penonton dan juga mutunya di atas pentas, Faizal mendedahkan wajah lain pada malam yang beremosi ini. Memilih untuk bercerita mengenai kepayahan yang pernah diharungi, masa-masa yang sukar serta halangan-halangan dalam kariernya, pada malam istimewa ini ‘Superman’ tidak dapat menahan sebak di dada selang setiap lagu yang disampaikan.

Lebih bermakna apabila kedua ibubapanya turut berada dalam dewan itu untuk menyaksikan persembahan anak mereka. Bagi Faizal, persembahan malam itu lebih gemuruh kerana kedua orang tuanya dapat hadir menyaksikan karya langsungnya. Terang penghibur itu dari pentas: “Kedua ibubapa saya mahu saya membesar menjadi seorang ahli akademik; mak saya sendiri pernah memecahkan gitar saya dahulu”. Lantas beliau menitiskan air mata di situ juga ketika mendedahkan kebenaran hidupnya yang satu itu.

Umumnya pembaca pasti tahu akan kontroversi hangat Faizal Tahir dengan aksi buka bajunya yang menyebabkan beliau digam seketika beberapa tahun lepas. Beliau sendiri pula menjelaskan waktu itu sebagai detik-detik yang sukar dalam kariernya: “You fall, you rise…you don’t fall, you don’t know where you are”. Tambahnya lagi, “mujur ada peminat yang setia untuk menyokong saya untuk menempuh waktu sukar tersebut”.

Selang beberapa lagu, terdapat sesi perbualan antara Faizal Tahir dan hos rasmi, Alif Satar.


Alif Satar sebagai sidekick

Seperkara yang sedikit mengejutkan tentang persembahan ini: terdapat sesi bual bicara selang beberapa lagu, satu babak yang jarang dapat dilihat dalam konsert-konsert perdana Malaysia. Itulah yang membezakan Faizal dengan yang kontemporarinya barangkali. Tidak dinafikan, kemunculan Alif Satar sebagai hos pada malam itu cukup berkesan – boleh dikira juga sebagai pelengkap dan sebuah lagi highlight pada malam gemilang Faizal Tahir.

Satu lagi touch yang lain dari FT, yang makin hari makin kelihatan seperti Michael Jackson Malaysia. Ada saja yang lain difikirkannya, ada saja yang luarbiasa mahu dibikinnya. Berpewatakan menarik, riang dan pandai berjenaka – hadirin sangat terhibur dengan gelagat penyanyi dan hos, juga seorang penyanyi pop. Alif pandai bermain dialog dan mengawal keadaan apabila nada bertukar menjadi sedih dan dia berjaya mengajak penonton turut serta berperanan dalam jenaka spontannya.

Sesi bersembang antara mereka berdua menyentuh beberapa topik termasuk kisah-kisah silam yang pahit dan manis, dihias pula dengan selingan-selingan gambar Faizal Tahir ketika kecil. Lagi yang dijadikan bahan borak di antara muzik yang dipersembahkan termasuk juga kehidupan peribadi seperti anak-anak, dan pasukan bola sepak kegemaran. Malah semakin diperhatikan, mereka seperti sudahpun berkongsi sebuah persahabatan yang utuh bermula dari zaman One in a Million lagi barangkali.

Antara artis jemputan, Elizabeth Tan mendendangkan lagu “Setia” bersama Faizal Tahir di DFP pada malam itu.


Muzik, persembahan dan artis jemputan

Namun jika ada lagi sebarang fakta yang tertinggal dijelaskan Faizal sepanjang kariernya, cukuplah melalui muziknya sahaja. Bahawa beliau seorang penghibur yang berbakat memang tidak dapat disangkal – dengan keupayaan vokal dan persembahan bertenaga sepanjang konsert seperti ini – beliau sememangya mencurahkan segalanya di atas pentas.

Walaupun One Night Only penuh protokol diadakan di DFP, sebuah ruang keramat yang biasanya dibuka khas untuk muzik klasikal sahaja, ia tidak menghalang Faizal Tahir dari menjiwai identiti rock star-nya yang sebenar. Memulakan setlist dengan “Batu Dan Golek” – satu lagu yang sesuai untuk memulakan konsert, kerancakan diteruskan dengan “La Da Di Dum”, “Bencinta”, “Anti Graviti” dan kemudian lagu yang “dibencinya” sendiri iaitu ballad pertamanya, “Mahakarya Cinta”.

Selain berjaya membawa mood rock n roll, Faizal Tahir tenang mengimbangi persembahannya dengan membawa audiens ke arah yang lebih lembut seperti single terbarunya “Sayang”, yang diikuti pula sebuah medley indah yang mencantumkan “Selamat Malam”, “Sampai Syurga” dan “Semesta”. Sosok Elizabeth Tan, Aziz Harun dan insan yang paling awal bersamanya, Aubrey Suwito, ketika ini terus kelihatan bagi memeriahkan lagi malam itu dengan lagu “Setia”, “Beautiful” dan “Gemuruh”.

Karakter dan personal touch

Sekali lagi satu perkara yang melekat di ingatan tentang konsert ini: karakter Faizal Tahir sendiri ketara begitu senang sekali bersama penonton. Beliau kelihatan peramah dan genuine melayan penonton dengan lawak jenakanya, kadangkala disampaikan dalam bahasa Inggerisnya yang sempurna dan terang, kadang-kadang lebih jati dan bersahaja terutama bila bertukar kata dengan Alif Satar.

Ditambah pula dengan aksi goyang dangdut hos itu sempena lagu “Gemuruh”, sudah tentu penonton terbahak melihat gelagat beliau di atas pentas. Seterusnya aksi singalong, pabila peminat memberi baju sedang lagu hangat bergema dan semua hadirin bersorak riang kerana dapat juga dilihat dan bukan sahaja melihat pada malam itu.

Faizal Tahir bersama tenaga yang menjayakan malam gemilang One Night Only.

Faizal menutup konsert kemuncaknya ini dengan lagu “Assalamualaikum” selaku encore, dan persembahan selama 90 minit yang melewati 10 buah lagu itu habis tepat pukul 10.00 malam. Dengan pelbagai lagu hits, anugerah-anugerah yang telah dimenangi dan evolusi imejnya selama hampir sedekad kini bergelar anak seni negara ini, ternyata Faizal Tahir berada dalam zonnya yang tersendiri dalam industri tanahair.