HIBURAN
Demi Lencana Di Dada: Hujan hidupkan semangat Harimau Malaya

Demi Lencana Di Dada merupakan lagu rasmi pertama Harimau Malaya nyanyian kumpulan Hujan yang diusahakan melalui kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia dan Warner Music Malaysia.
KUALA LUMPUR: Semangat membara Harimau Malaya kini diterjemahkan dalam bentuk lagu apabila kumpulan Hujan tampil dengan single rasmi skuad kebangsaan berjudul “Demi Lencana Di Dada.”
Hasil kerjasama antara Warner Music Malaysia (WMM) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), lagu ini dilancarkan bagi menyuntik motivasi kepada pemain dan penyokong setia bola sepak tanah air.
Menurut vokalis Hujan, Noh Salleh, projek ini mula digerakkan sejak Februari lalu dengan penekanan kepada lirik, melodi dan mesej agar benar-benar dapat menyentuh jiwa rakyat Malaysia.
“Kami rasa sangat berbesar hati dan bangga apabila diberi peluang menyanyikan lagu rasmi Harimau Malaya."Bola sepak sudah sebati dengan rakyat Malaysia. Lagu ini bukan sekadar muzik, tetapi satu semangat yang menyatukan seluruh negara di belakang pasukan kebanggaan kita,” katanya.

Noh Salleh (dua dari kiri) bersama anggota kumpulan Hujan.
Lagu tersebut akan diperdengarkan buat kali pertama kepada umum di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini (4 Sept), sempena perlawanan persahabatan Malaysia menentang Singapura.
Ia juga akan dimainkan dalam aksi Malaysia menentang Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada 8 Sept.
Mengulas cabaran menghasilkan karya itu, Noh mengakui bukan mudah untuk menzahirkan semangat dan jiwa Harimau Malaya dalam bentuk lagu.
“Ia bukan sekadar melodi, tetapi simbol perjuangan, pengorbanan dan harapan. Kami mahu setiap bait lirik dan setiap nada benar-benar membakar semangat pemain serta penyokong sama ada di stadium mahupun di rumah,” jelasnya.
Hujan percaya muzik mampu merapatkan jurang generasi serta menyatukan peminat daripada pelbagai latar belakang dan bangsa, seiring dengan semangat perpaduan yang dibawa bola sepak.
Single “Demi Lencana Di Dada” boleh distrim di semua pelantar digital mulai 5 September, manakala video liriknya ditayangkan di saluran YouTube Warner Music Malaysia.
Ini juga merupakan lagu rasmi pertama Harimau Malaya yang diusahakan melalui kerjasama FAM dan WMM.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami