WASHINGTON: Penyanyi terkenal sepanjang zaman kelahiran Amerika Syarikat, Dionne Warwick, ahli kumpulan Bee Gees, Barry Gibb dan ikon muzik rap, Queen Latifah diberi penghormatan tertingi dalam bidang seni di Kennedy Center Honors pada Ahad.

Turut menerima pengiktirafan tersebut termasuk pelakon komedi, Billy Crystal dan bintang Opera, Renée Fleming.

Penghormatan itu dimulakan dengan Warwick, 82, yang merupakan bintang muzik pop sejak 1960-an dan telah menjual lebih 100 juta rekod sepanjang enam dekad penglibatan seninya.

Warwick, yang sudah menghasilkan 70 album secara keseluruhan terkenal dengan lagu hits seperti "I'll Never Love This Way Again" dan "That's What Friends Are for"  gandingan bersama Gladys Knight, Elton John dan Stevie Wonder.

Sementara itu, pelopor penyanyi rap wanita yang juga pelakon terkenal dari era 90-an, Queen Latifah turut menerima penghormatan sama.

Pemenang Anugerah Grammy kategori Persembahan Rap Solo Terbaik pada tahun 1994 itu menjadi penyanyi rap wanita yang pertama diberi pengiktirafan tersebut.

Sementara itu, ahli kumpulan pop popular lewat 1960-an Bee Gees, Barry Gibb turut diraikan dengan penganugerahan pencapaian seni sepanjang hayat.

Gibb, 77, meniti populariti sebagai sebahagian daripada trio Bee Gees yang turut dianggotai oleh mendiang kedua-dua abangnya.

Antara lagu 'malar segar' trio itu termasuk Stayin' Alive dan 'How Deep Is Your Love'.

Bee Gees juga menjadi salah satu kumpulan muzik paling berjaya sepanjang zaman, apabila anggaran jualan album mereka berjumlah 220 juta unit.

Anugerah Kennedy mengiktiraf individu dalam bidang seni atas sumbangan seumur hidup mereka kepada pembudayaan Amerika Syarikat.

Mereka yang menerima penghormatan merupakan penggiat seni yang telah memberi impak besar kepada dunia muzik, tarian, teater, opera dan seni persembahan yang lain.

Para penerima anugerah diraikan melalui beberapa acara, termasuk persembahan gala yang menampilkan penghormatan dan persembahan oleh pelbagai artis.

Anugerah Kennedy 2023 berlangsung  di Pusat Opera House Kennedy di Washington dan dihoskan oleh penyanyi dan pelakon popular Amerika, Gloria Estefan pada 3 Disember 2023.