SHAH ALAM: Sesi Jawatankuasa Pendamai (JKP) melibatkan pasangan Syamsul Yusof dan Puteri Sarah Liyana di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada Jumaat gagal menemui jalan penyelesaian.

Puteri Sarah yang mengakui penat dengan kemelut yang melanda rumah tangganya tetap dengan keputusan untuk bercerai dan enggan berdamai.

"Saya masih dengan keputusan untuk bercerai dan tidak mahu berdamai. Cukup-cukuplah saya sudah penat, lepaskan saja saya," katanya.

Aktres berumur 38 tahun itu kekal dengan keputusan untuk bercerai dengan Syamsul dan menyerahkan perkara tersebut pada sesi sebutan kedua di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 10 April depan.

Puteri Sarah yang diwakili adiknya, Dr Puteri Sofea turut memohon agar sesi JKP yang berlangsung selama hampir dua jam itu dijalankan secara berasingan kerana enggan bersemuka dengan Syamsul.

"Saya memilih untuk tidak berjumpa dan sebilik dengan Syamsul hari ini (Jumaat). Jadi, saya dan adik hanya berjumpa dengan pegawai yang dilantik dan menceritakan segala-galanya mengenai konflik rumah tangga kami serta bukti.

"Bagi saya, pegawai Jawi perlu tahu apa yang berlaku supaya ada jalan penyelesaian atau sebaliknya.

“Saya tegaskan kepada pegawai berkenaan saya memang tidak mahu bersama kerana sudah penat dengan masalah yang ditanggung selama beberapa tahun ini,” jelasnya.

Sementara itu, media tempatan melaporkan, Syamsul sedia mempertimbangkan permintaan Puteri Sarah untuk dilepaskan jika isteri pertamanya itu mahu bersemuka.

"Insya-Allah, saya tidak tahu... Insya-Allah. Apa yang penting, ayuh kita berjumpa.

"Saya akur dan mengharapkan masalah rumah tangga kami dapat diselesaikan secara baik," katanya ketika ditemui selepas berakhirnya sesi JKP.

Pengarah kontroversi itu juga menyatakan kekecewaannya apabila harapan untuk bertentang mata dengan Puteri Sarah pada sesi perdamaian tidak kesampaian.

"Saya harap hari ini dapatlah berjumpa Sarah, tetapi, malangnya, proses itu dijalankan berasingan,” luah beliau.

Syamsul tiba di Jawi sekitar jam 9.35 pagi Jumaat bagi sesi perbincangan dengan isteri pertamanya, Puteri Sarah menerusi JKP.

Pada 7 Mac lalu, pasangan berkenaan diperintahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur supaya melantik wakil JKP dalam kes permohonan perceraian mereka. -Sinar Harian