Orkestra Filharmonik Malaysia (atau Malaysian Philharmonic Orchestra, MPO) meneruskan keraian ulang tahun ke-25 pada tahun ini dengan satu konsert penghargaan untuk bintang lagenda tanahair, Sudirman Haji Arshad pada Sabtu, 16 September 2023 jam 8.30 malam di Dewan Filharmonik Petronas (DFP).

Konsert ini merupakan langkah yang bertepatan apabila MPO memberikan penghormatan kepada ikon muzik kesayangan Malaysia pada Hari Malaysia. 

Allahyarham Dato Sudirman Haji Arshad mula menempa nama setelah dinobatkan sebagai juara Bintang RTM 1976 dan sejarah bergulir, beliau kemudian berjaya meletakkan dirinya sebagai salah seorang penghibur paling berjaya dan dihormati di negara ini. 

Antara penganjuran konsert paling berjaya di Malaysia ialah konsert terbuka beliau di Jalan Chow Kit pada tahun 1986 yang menyaksikan kehadiran seramai 100,000 orang. 

Diberi jolokan “The Singing Lawyer”, kejayaan terbesar beliau ialah pada tahun 1989 apabila beliau dinobatkan sebagai juara di Salem Asia Music Award di Royal Albert Hall, London.

Sudirman bukan sahaja terkenal menerusi muziknya yang melangkau genre, bangsa dan umur malah kemampuannya dalam menyanyikan lagu dalam pelbagai bahasa seperti Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil menonjolkan lagi versatiliti beliau sebagai seorang penghibur. 

Dalam konsert istimewa kali ini, MPO bakal mempersembahkan sebuah program pelbagai tema dan genre. 

Lagu-lagu yang bakal dimainkan termasuk alunan tradisional (Joget Kenangan Manis dan Apa Khabar Orang Kampung), balada (Merisik Khabar, Pelangi Petang dan Hujan), ‘Broadway’ (Big Spender dan Memories), lagu-lagu rakyat (Punch Card dan Basikal Tua) dan, sempena Hari Malaysia, lagu-lagu patriotik seperti Warisan dan 31 Ogos. Konsert ini bakal diterajui oleh Ahmad Muriz Che Rose. 

Konsert ini menampilkan barisan penyanyi hebat seperti Liza Aziz (bekas penyanyi latar Sudirman), Hazama, Ernie Zakri dan Arish Mikael. Bakat seni mereka bakal digabungkan dengan alunan muzik indah MPO semestinya menjanjikan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. 

Jangan lepaskan peluang untuk menghadiri konsert penghargaan istimewa ini sempena ulangtahun ke-25 MPO, hanya di DFP! - Gempak