FAME angkat bakat pengarah baharu, filem sulung 'Syurga Dalam Botol' raih RM1 juta

Filem Syurga Dalam Botol arahan Ebi Kornelis turut menerima sokongan kerajaan melalui FAME dan mencatat kutipan tiket sebanyak RM1 juta sejak ditayangkan di 40 pawagam seluruh negara mulai 9 Okt lepas.
KUALA LUMPUR: Dana Pembikin Filem Amatur Kali Pertama (FAME) dilihat mampu menjadi platform penting dalam mencungkil serta memperkasakan bakat baharu pengarah filem di seluruh negara, sekali gus memperkukuh ekosistem industri perfileman tanah air.
FAME adalah inisiatif khusus bagi membantu pengarah filem kali pertama menghasilkan karya mereka melalui sokongan dana sehingga RM500,000, selain bimbingan produksi bagi memperluaskan penyertaan kreatif dalam kalangan pembikin filem muda.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, dana yang diperkenalkan tahun lalu itu memberi tumpuan kepada pengarah yang pertama kali menceburi penghasilan filem berskala penuh.
Beliau berkata, filem Syurga Dalam Botol arahan Ebi Kornelis turut menerima sokongan kerajaan melalui FAME dan mencatat kutipan tiket sebanyak RM1 juta sejak ditayangkan di 40 pawagam seluruh negara mulai 9 Okt lepas."Filem yang mengetengahkan isu kanak-kanak tanpa kewarganegaraan di Sabah ini mencipta kejayaan tersendiri apabila berjaya meraih kutipan lebih RM1 juta.
"Ini boleh dianggap pencapaian membanggakan bagi karya sulung seorang pengarah baharu serta produksi tempatan dari Sabah," katanya kepada Bernama.
Mengulas lanjut, Azmir berkata, kejayaan filem itu bukan sahaja diukur dari segi kutipan tetapi juga impak sosial yang ditinggalkan apabila ramai penonton termasuk pemimpin masyarakat di Sabah mengakui tersentuh dengan mesej yang dipaparkan.
"Kejayaan ini membuktikan karya dari luar Lembah Klang juga mampu menyampaikan mesej yang kuat dan berimpak tinggi," katanya.
Beliau turut memaklumkan, FINAS menerima maklum balas positif daripada penerbit filem dan drama berpengalaman yang menyifatkan Ebi Kornelis sebagai bakat besar yang berpotensi menyerlah pada masa depan.
Menurutnya, FINAS juga berhasrat memperkukuh promosi filem berkenaan termasuk di platform media sosial dengan sasaran meningkatkan kutipan kepada RM2 juta dalam masa terdekat, selain memanfaatkan momentum Festival Filem Malaysia yang dijadual berlangsung pada 1 Nov ini.
Filem Syurga Dalam Botol mengangkat kisah kanak-kanak tanpa kewarganegaraan di Kota Kinabalu yang hidup tanpa hak dan identiti, memaparkan dilema antara memilih jalan jujur atau terjerumus dalam jenayah akibat tekanan hidup, sekali gus membuka mata masyarakat terhadap realiti sosial yang jarang diberikan perhatian.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami