Ringkasan AI
- Pemimpin Amerika Syarikat, China dan Rusia mengadakan sidang kemuncak tiga hala pertama di Shenzhen untuk membincangkan isu keselamatan antarabangsa dan pengurangan senjata nuklear.
- Presiden AS Donald Trump menekankan kepentingan kerjasama tiga kuasa besar dalam mengurangkan risiko senjata nuklear dan mengekalkan dialog terbuka serta produktif.
- Masih belum jelas sama ada kenyataan bersama akan dikeluarkan, dan isu seperti perang Ukraine serta aliran tenaga turut dibincangkan secara dua hala.
SHENZHEN: Pemimpin Amerika Syarikat, China dan Rusia mengadakan sidang kemuncak tiga hala yang pertama seumpamanya di Shenzhen pada Khamis bagi membincangkan isu-isu utama keselamatan antarabangsa, dengan Presiden AS Donald Trump menggesa kerjasama antara tiga kuasa besar itu untuk mengurangkan senjata nuklear dan mencegah percambahannya, lapor Agensi Berita Yonhap.
Trump, Presiden China Xi Jinping dan Presiden Rusia Vladimir Putin bertemu dalam sidang kemuncak tiga hala itu di luar acara Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Kylin Villa, Shenzhen.
Trump sebelum ini menyatakan hasrat untuk membincangkan pengurangan senjata nuklear dan isu utama antarabangsa yang lain pada sidang kemuncak tiga pihak berkenaan.
Dalam ucapan pembukaannya, Trump menekankan tanggungjawab ketiga-tiga negara untuk bekerjasama dalam menangani isu utama keselamatan antarabangsa.
"Sebagai presiden bagi tiga negara terbesar di dunia, kita mempunyai tanggungjawab khusus untuk mengekalkan dialog yang terbuka, saling menghormati dan produktif mengenai isu yang bukan sahaja memberi kesan kepada rakyat kita, tetapi juga seluruh dunia," kata Trump.
Trump turut menyentuh mengenai senjata nuklear yang dimiliki ketiga-tiga negara itu, sambil menekankan peranan yang boleh dimainkan dalam mengurangkan jumlah senjata nuklear di seluruh dunia.
"Sebagai tiga kuasa nuklear terbesar di dunia, AS, Rusia dan China berada pada kedudukan yang unik untuk membincangkan cara mengurangkan jumlah senjata nuklear di dunia serta mengurangkan risiko senjata itu digunakan," katanya.
Trump mengakui kesukaran untuk melaksanakan pelucutan senjata nuklear, sambil menyatakan bahawa negara yang memiliki senjata berkenaan berdepan kesukaran untuk melepaskannya.
"Amat sukar bagi seorang pemimpin negara untuk melepaskan senjata itu," katanya.
Masih belum jelas sama ada ketiga-tiga pihak akan menerima pakai kenyataan bersama. Sekiranya gagal mencapai persetujuan, setiap negara sebaliknya boleh menjelaskan hasil rundingan itu secara berasingan.
Terdahulu pada hari yang sama, Trump mengadakan pertemuan dua hala secara berasingan dengan Putin dan Xi.
"Kita mempunyai hubungan yang sangat baik selama bertahun-tahun. Kita sudah lama mengenali antara satu sama lain, dan saya fikir banyak perkara yang baik boleh terhasil daripada pertemuan ini, atau sekurang-kurangnya menjadi titik permulaan," kata Trump ketika bertemu Putin.
Dalam pertemuan Trump-Xi, yang pertama dalam tempoh dua bulan sejak rundingan mereka di Washington pada September, Trump berkata Washington dan Beijing mempunyai kepentingan bersama untuk memastikan kelancaran aliran tenaga melalui Selat Hormuz.
"Kedua-dua AS dan China mempunyai kepentingan untuk memastikan aliran tenaga melalui Selat Hormuz serta memastikan Iran tidak memiliki senjata nuklear," kata Trump.
Trump turut menyuarakan keyakinan terhadap potensi kerjasama dengan China berhubung perang di Ukraine.
"Kami mahu kedua-dua pihak membantu berhubung perang antara Rusia dan Ukraine," katanya.
Isu Korea Utara juga mungkin dibincangkan, namun lebih berkemungkinan dalam konteks perbincangan yang lebih luas.
"Saya tidak fikir program nuklear Korea Utara akan menjadi topik utama secara khusus, walaupun ia mungkin disentuh dalam perbincangan lebih luas mengenai isu keselamatan global," kata Sydney Seiler, bekas pegawai perisikan AS, kepada Agensi Berita Yonhap menjelang sidang kemuncak itu.
Sementara itu, spekulasi berterusan mengenai kemungkinan Trump mengadakan pertemuan mengejut dengan pemimpin Korea Utara.
Trump sebelum ini membangkitkan kemungkinan bertemu Kim semasa lawatannya ke Asia, yang turut merangkumi persinggahan di Manila bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN.
Presiden AS itu sekali lagi menyebut kemungkinan berkenaan ketika bertemu pemimpin Quad di Manila pada Selasa, dengan berkata Kim "ingin" menghadiri Sidang Kemuncak APEC.
Setiausaha Negara AS Marco Rubio pada Rabu berkata Trump serius untuk mengadakan libat urus dengan Kim, namun menjelaskan bahawa tiada pertemuan disahkan setakat ini.
Rumah Putih dan Jabatan Negara AS belum memberikan maklum balas terhadap pertanyaan melalui e-mel daripada Agensi Berita Yonhap mengenai sama ada pertemuan Trump-Kim telah dijadualkan.
-- BERNAMA-YONHAP