Artis kontroversi, Datuk Farid Kamil, terpaksa merengkok dalam penjara sejak Khamis lalu, selepas rayuannya untuk mengetepikan hukuman penjara selama sembilan bulan ditolak Mahkamah Tinggi Shah Alam

Portal Berita Harian melaporkan, Farid yang juga suami kepada Datin Diana Danielle, dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan itu selepas disabitkan dengan kesalahan dadah.

Rayuan pelakon dan pengarah itu ditolak Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ab Karim Ab Rahman dan mengekalkan keputusan dibuat Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Mei lalu.

“Hukuman penjara terhadap tertuduh berkuat kuasa sejak Khamis minggu lalu,” kata Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Nazneen Zulkifli kepada Berita Harian.

Portal berkenaan turut melaporkan, ketika prosiding rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam itu berlangsung, Farid Kamil, 38, hadir bersendirian tanpa ditemani ahli keluarga dengan menunggang motosikal.

Farid atau nama sebenarnya, Farid Kamil Zahari pada Mei lalu, dijatuhkan hukuman penjara sembilan bulan selepas disabitkan dengan kesalahan mengguna dadah jenis ganja Tetra Hydrocannibol (THC), tahun lalu.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Nor Ariffin Hisham selepas Farid Kamil, memilih untuk berdiam diri selepas diperintahkan membela diri.

Bagaimanapun, selepas 35 hari menjalani hukuman di Penjara Kajang, Ab Karim membenarkan penangguhan hukuman terbabit selepas permohonan rayuan difailkan pelakon berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Farid didakwa menggunakan dadah pada jam 4.30 petang di Pejabat Narkotik Petaling Jaya, dalam Daerah Petaling Jaya, pada 11 Januari 2018.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.