Skip to main content

Malaysia

Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut, tiga individu larikan diri selepas nahas

SINAR HARIAN
Keadaan di lokasi kemalangan yang meragut nyawa penunggang motosikal berkuasa tinggi di Jalan Mempaga-Sertik, Bentong pada Isnin. - Foto Sinar Harian
Advertisement

BENTONG: Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Mempaga-Sertik, di sini pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa, Fazlizal Abdul Samad, 41, yang menunggang motosikal Modenas Versys disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda HR-V berusia 41 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, pemandu dan dua penumpang Perodua Myvi yang turut terbabit dalam kemalangan dipercayai telah meninggalkan kenderaan dan melarikan diri ke kawasan ladang kelapa sawit berhampiran.

“Polis kini sedang giat menjalankan usaha mengesan dan mengenal pasti pemandu serta dua penumpang Perodua Myvi terbabit,” katanya.

Mohd Zaiham berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa dan pemandu Honda HR-V dipercayai dalam perjalanan dari arah Sertik menghala ke Mempaga di sini.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, Perodua Myvi dinaiki tiga individu yang datang dari arah Mempaga menghala ke Sertik terbabas masuk lorong bertentangan sebelum berlaku kemalangan dengan Honda HR-V manakala mangsa yang berada di belakang SUV itu turut dilanggar kereta berkenaan.

"Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke bahu jalan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Bentong bagi tujuan bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Zaiham berkata, pihaknya telah membuat satu tangkapan bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut dan permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Bentong pada Selasa.

Sementara itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan.

"Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut," ujarnya. - Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement