Skip to main content

Dunia

Insiden laungan terhadap mendiang Diogo Jota, SAFF janji ambil tindakan

SAFF
Menurut SAFF, jawatankuasa berkaitan telah memantau insiden itu dan memulakan prosiding tatatertib selaras dengan peraturan serta undang-undang kecil yang ditetapkan.
Advertisement

ISTANBUL: Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF) dan Liga Profesional Saudi mengecam laungan yang ditujukan kepada mendiang penyerang Liverpool dan Portugal, Diogo Jota ketika perlawanan antara Al-Taawoun dan Al-Hilal pada Sabtu, selain berjanji mengambil tindakan tatatertib terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Dalam satu kenyataan bersama lewat Ahad, SAFF dan pihak liga itu menyifatkan tingkah laku semasa perlawanan Liga Profesional Saudi itu sebagai “tidak boleh diterima” dan bertentangan dengan nilai bola sepak Arab Saudi serta semangat kesukanan, lapor Anadolu Ajansi.

Badan pentadbiran berkenaan menyatakan bahawa tindakan mengeksploitasi tragedi peribadi untuk menghasut atau mencetuskan provokasi “tidak mempunyai tempat dalam bola sepak Arab Saudi.”

SAFF memaklumkan jawatankuasa berkaitan telah memantau insiden itu dan memulakan prosiding tatatertib selaras dengan peraturan serta undang-undang kecil yang ditetapkan.

Jota, 28, dan adiknya Andre Silva, 25, maut dalam kemalangan jalan raya di Sepanyol pada Julai 2025.

Selepas perlawanan itu, pemain antarabangsa Portugal yang juga pemain tengah Al-Hilal, Ruben Neves bertindak balas dengan marah terhadap laungan berkenaan. Neves, seorang daripada sahabat karib Jota dan antara individu yang mengusung keranda mendiang ketika upacara pengebumian, bertepuk tangan secara sinis dan menunjukkan isyarat ibu jari ke arah tempat duduk penonton sebelum menunjuk ke arah langit.

Kapten Portugal Cristiano Ronaldo turut mengecam insiden itu di media sosial.

“Liga mesti mengambil tindakan dan menghukum tingkah laku penyokong seperti ini,” tulis Ronaldo. “Individu yang berkelakuan sebegini tidak sepatutnya dibenarkan memasuki stadium lagi.”

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement