Skip to main content

Malaysia

FINAS harap Belanjawan 2027 terus perkukuh ekosistem perfileman

KUALA LUMPUR, 24 Ogos -- Pengerusi FINAS Datuk Hans Isaac pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Menara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di Menara Finas Damansara hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menurut Hans, sebarang peruntukan yang dipertimbangkan bukan semata-mata untuk operasi FINAS sebagai sebuah agensi, sebaliknya bagi memberikan manfaat kepada ekosistem perfileman negara yang dianggarkan melibatkan kira-kira 30,000 tenaga kerja. - Gambar fail/ Bernama
Advertisement

BEIJING: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) berharap pembangunan industri perfileman dan kandungan kreatif terus diberikan perhatian pada Belanjawan 2027 bagi memperkukuh keseluruhan rantaian nilai industri serta meningkatkan daya saing karya tempatan.

Pengerusi berkenaan, Datuk Hans Isaac berkata, sokongan kerajaan penting bagi meneruskan program pembangunan industri meliputi aspek penerbitan, pemasaran, pascaproduksi, latihan dan pembangunan bakat.

Beliau berkata, sebarang peruntukan yang dipertimbangkan bukan semata-mata untuk operasi FINAS sebagai sebuah agensi, sebaliknya bagi memberikan manfaat kepada ekosistem perfileman negara yang dianggarkan melibatkan kira-kira 30,000 tenaga kerja.

“Kami berharap sokongan terhadap pembangunan industri perfileman dapat dikekalkan dan diperkukuh, tertakluk kepada keutamaan serta kemampuan fiskal kerajaan.

“Sokongan itu penting untuk merancakkan aktiviti ekonomi industri, membangunkan bakat baharu dan membantu karya Malaysia meningkatkan daya saing dalam pasaran tempatan serta antarabangsa,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada China-Malaysia Film Festival 2026 bersempena dengan Musim Kebudayaan Xingtan ke-12, di sini.

Hans berkata, FINAS ketika ini melaksanakan beberapa inisiatif sokongan industri, termasuk Dana Belia MADANI, Dana Kandungan Kreatif, Dana Khas Produksi Citra Nasional (CITRA), selain bantuan berkaitan pemasaran, pascaproduksi dan latihan.

Beliau berkata, mekanisme dan skop bantuan sedia ada perlu dinilai secara berkala supaya kekal relevan dengan perkembangan teknologi, corak penggunaan kandungan serta perubahan model perniagaan industri kreatif.

Hans berkata, FINAS sedang meneliti ruang penambahbaikan yang bersesuaian bagi menyokong penghasilan kandungan untuk platform digital, khususnya karya yang termasuk dalam skop aktiviti perfileman dan memenuhi syarat kelayakan ditetapkan.

“Perubahan landskap industri memerlukan pendekatan yang lebih responsif. Sebarang penambahbaikan kepada mekanisme dana perlu dibuat secara teliti, berasaskan keperluan industri, impak yang boleh diukur serta tadbir urus yang baik,” katanya.

Belanjawan 2027 dijadualkan dibentangkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Okt depan.

Sementara itu, Hans berkata, FINAS sedang meneliti potensi mengoptimumkan penggunaan fasiliti di Kompleks FINAS Hulu Kelang, Selangor, bagi menyokong latihan, pembangunan bakat dan keperluan teknikal industri.

Penelitian itu termasuk kemungkinan menyediakan kemudahan guna sama kepada persatuan industri yang memerlukan ruang untuk menjalankan aktiviti organisasi.

Bagaimanapun, sebarang pelaksanaan tertakluk kepada kajian kesesuaian, ketersediaan ruang, kemampuan kewangan, kriteria pemilihan serta kelulusan pihak berkaitan.

“Kita mahu aset dan kemudahan FINAS dimanfaatkan secara optimum bagi menyokong pembangunan industri. Pada masa sama, pelaksanaannya perlu dilakukan secara teratur, telus dan berdasarkan keperluan sebenar,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hans berkata, Dasar Filem Negara sedang diperhalusi menerusi proses sewajarnya sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hala tuju dan daya saing industri perfileman tempatan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement