KUALA LUMPUR: Filem Tiger Stripes mencipta sejarah menjadi filem arahan anak Malaysia pertama merangkul anugerah utama pada Minggu Kritik Festival Filem Cannes.

Pengarah Amanda Nell Eu sekali gus membawa pulang wang tunai EURO10,000 bersamaan hampir RM50,000 untuk anugerah dalam edisi ke-62 festival itu.

Diterbitkan oleh syarikat penerbitan Ghost Grrrl Pictures yang turut diasaskan oleh Amanda, Tiger Stripes berkisar tentang seorang remaja perempuan berusia 12 tahun yang mengalami tekanan dan perubahan drastik sewaktu mencapai usia akil baligh.

Filem debut oleh Amanda itu mempamerkan beberapa pelakon baharu seperti Zafreen Zairizal dan Deena Ezral, serta veteran seperti Fatimah Abu Bakar dan Shaheizy Sam.

Filem berbahasa Malaysia itu juga dicalonkan untuk anugerah kategori filem pertama terbaik, namun masih belum diumumkan.

Memetik laporan portal Screen Daily, Presiden Juri Minggu Kritik Festival Cannes Audrey Diwan berkata, filem itu tidak kelihatan seperti terlalu mencuba untuk memuaskan cita rasa umum, sebaliknya tegas mengangkat suara tersendiri.

Irreverent and uncompromising, Tiger Stripes does not try to please, it is content to fully assume its seductive singularity.

It was the first film of the selection that we saw. It has passed the test of time,” kata Audrey Diwan.

Hanya tiga filem arahan anak tempatan pernah dipilih untuk Festival Cannes, iaitu Kaki Bakar arahan U-Wei Saari (1995), Karaoke oleh Chris Chong Chan Fui (2009) dan The Tiger Factory oleh Woo Ming Jin (2010).