Filem biopik Michael Jackson tampilkan Jaafar Jackson sebagai Raja Pop

Jaafar Jackson yang juga anak saudara legenda Michael Jackson diberi tanggungjawab memegang watak bapa saudaranya yang juga seorang ikon pop tersohor dunia dalam filem biopik itu.
FILEM biopik yang dinanti-nantikan mengenai kehidupan dan legasi Raja Pop, Michael Jackson akhirnya memperlihatkan klip promosi rasmi pertama yang menampilkan Jaafar Jackson – anak saudara kepada mendiang ikon muzik itu – sebagai watak utama.
Diarahkan oleh Antoine Fuqua dan dijadualkan tayangannya pada 24 April 2026, filem berjudul Michael ini membawa penonton menyelami perjalanan hidup bintang pop paling berpengaruh dunia, dari zaman kanak-kanaknya bersama kumpulan Jackson 5 hingga ke puncak kegemilangan sebagai artis solo yang mencipta fenomena global.
Dalam klip berdurasi satu minit itu, Jaafar dilihat menghidupkan semula detik-detik ikonik Michael Jackson termasuk gerakan Moonwalk dan rakaman video muzik Thriller.
Menurut sinopsis rasmi, filem ini bukan sekadar menyorot kejayaan muzik Jackson, tetapi juga sisi peribadi dan perjuangan beliau di sebalik tabir.
Antara barisan pelakon yang turut menjayakan filem ini termasuk Colman Domingo sebagai Joe Jackson (bapa Michael), Nia Long sebagai Katherine Jackson (ibu Michael), Miles Teller sebagai peguam dan pengurus John Branca serta Kat Graham sebagai Diana Ross.
Watak Michael semasa kecil pula dibawakan oleh Juliano Krue Valdi.
Namun, filem ini tidak terlepas daripada kontroversi.
Laporan media mendedahkan bahawa babak dalam skrip asal yang menyentuh siasatan kes penderaan seksual melibatkan Jordan Chandler pada tahun 1993 terpaksa digugurkan selepas didapati melanggar perjanjian undang-undang yang melarang sebarang bentuk dramatik terhadap keluarga Chandler.
Akibatnya, produksi filem terpaksa menjalani penggambaran semula dan tarikh tayangan ditunda beberapa kali.
Walaupun isu tersebut tidak disebut dalam klip promosi itu, namun, pengarah Antoine Fuqua menegaskan, filem ini bertujuan memberikan gambaran yang jujur dan menyeluruh tentang kehidupan Michael Jackson – seorang artis yang penuh dengan karisma, bakat luar biasa dan juga sisi kompleks sebagai seorang insan.
Filem ini diterbitkan oleh Graham King yang sebelum ini menghasilkan Bohemian Rhapsody dan ditulis oleh John Logan, penulis skrip yang pernah dicalonkan Oscar sebanyak tiga kali. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


