MUMBAI: Filem terbaharu lakonan superstar Bollywood, Shah Rukh Khan, Pathaan dilaporkan berjaya memecah rekod kutipan pecah panggung India selepas mula ditayangkan minggu lalu.

Ini sekali gus membawa harapan cerah kepada industri perfileman India selepas beberapa siri kutipan lemah di negara itu.

Penganalisis perdagangan, Taran Adarsh menerusi Twitter memaklumkan, Pathaan mencatatkan kutipan pecah panggung tertinggi bagi sebuah filem Hindi pada hari pertama dan kedua tayangan di India apabila meraih 2.5 bilion rupee (RM130 juta) dalam tempoh lima hari pertama.

Dalam pada itu, Yash Raj Films selaku penerbit mengesahkan jualan tiket antarabangsa melonjak melepasi satu bilion rupee (RM58.2 juta) dalam masa tiga hari sahaja.

Kejayaan ini membawa khabar gembira untuk industri perfileman Bollywood berbahasa Hindi selepas lama bergelut ekoran penutupan pawagam disebabkan penularan pandemik COVID-19.

"Kejayaan Pathaan perlu diraikan kerana tidak pernah berlaku sebelum ini... kita kembali menuju menaikkan industri filem Hindi. Kini kita kembali kepada cara lama menonton filem di pawagam sebagai satu komuniti," kata pemilik rangkaian teater filem, Akshaye Rathi kepada AFP.

Pathaan merupakan filem lakonan Shah Rukh Khan yang amat dinanti-nantikan oleh peminat di seluruh dunia dalam tempoh empat tahun yang turut menampilkan pelakon Deepika Padukone dan hero aksi, John Abraham.

Sebelum ini, Pathaan dikritik hebat oleh sayap kanan dan aktivis Hindu di media sosial yang mengajak rakyat India memboikot filem ini.

Ini kerana wujud sebuah babak di mana Padukone memakai bikini berwarna saffron, warna yang dikaitkan dengan agama mereka.