MENGIKUT dokumen-dokumen mahkamah baharu, Google dilihat telah membayar Apple sehingga AS$20 bilion pada tahun 2022 lepas, untuk menjadi enjin carian utama pada pelayar web Safari.

Untuk makluman, pelayar web Safari hadir terbina pada iPhone, iPad dan juga MacBook.

Google sedia bekerjasama dengan Apple untuk menjadi enjin carian utama dan pembayaran dilihat meningkat dari tahun ke tahun – selari dengan angka pengguna Apple yang meningkat.

Dikatakan, pada mulanya, Apple bersetuju untuk Google menjadi enjin carian utama Safari secara percuma pada 2002.

Namun, kemudian mereka beralih kepada perkongsian pendapatan pengiklanan pada enjin carian.

Google dikatakan berkongsi 36% pendapatan daripada hasil pengiklanan carian Safari bersama Apple.

Langkah ini juga memperlihatkan Google membayar lebih AS$1 bilion kepada Apple setiap bulan untuk kekal menjadi enjin carian utama.

Microsoft juga pernah menawarkan kerjasama untuk enjin carian Bing kepada Apple – termasuk untuk menjualnya kepada Apple.

Namun, perkara berkenaan tidak direalisasikan setakat ini.

Malah, turut diperkatakan, Apple sendiri tidak membuat enjin carian mereka, kerana pendapatan melalui Google adalah lebih berbaloi berbanding pembangunan sendiri. - Amanz