PELAKON dan pempengaruh media sosial, Syifa Melvin menitipkan nukilan istimewa sempena kelahiran cahaya mata sulungnya, Saif Sulaiman pada tanggal 30 September lalu.

Dalam nukilan tersebut, Syifa atau nama sebenarnya Nur Syifa Athirah Amirol Melvin memanjatkan rasa syukur ke hadrat Illahi kerana telah memberinya peluang untuk merasai nikmat bergelar ibu.

“Terima kasih anakku kerana hadirmu, Tuhan meletakkan syurga pada telapak kakiku,” tulisnya.

Luahan itu dikongsikan sendiri oleh isteri kepada pemain bola sepak negara, Safawi Rasid menerusi sebuah hantaran di Instagram.


Pada masa sama, Syifa turut menyifatkan kehadiran dua insan istimewa iaitu suami dan anak telah melangkapkan kehidupannya saat ini.

“Terima Kasih Tuhanku telah hadirkan dua orang manusia yang menyempurnakan perananku di dunia ini.

“Menjadi bidadari bumi dengan gelar ibu dan isteri,” kongsinya lagi.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut tumpang gembira selain turut mendoakan semoga Syifa dan keluarga kekal bahagia hingga ke akhir hayat.

“Tahniah Syifa. Selamat berpantang.

“Tahniah Syifa. Tahu-tahu dah beranak. Alhamdulillah. Semoga anakmu membesar dengan sihat. Selamat berpantang sayangku.

“Semoga menjadi anak soleh yang membahagiakan kedua orang tuanya. Ameen.

“Kapsyen Syifa buat sebak. Baru terasa macam kita ini bidadari sebenarnya. Tahniah Syifa,” antara komen-komen netizen.

Sekadar informasi, Syifa dan Safawi telah mendirikan rumah tangga pada tanggal 28 November 2022 dalam sebuah majlis yang diadakan secara tertutup. -Media Hiburan