Hubungan cinta antara aktres, Nora Danish dan Nedim Nazri disahkan sudah berakhir selepas berdepan dengan khabar angin mengenai status percintaan mereka sejak beberapa minggu lalu.

Memetik laporan portal mStar Online, Nora atau nama sebenarnya Nora Danish Mohd Hanif, 34 mengesahkan khabar angin perpisahan mereka pada Ahad lepas dengan menyatakan bahawa keputusan tersebut dibuat atas persetujuan dan kebaikan bersama.

“Kami mengambil keputusan mahu berpisah atas kebaikan bersama. Itu sahaja,lagipun, cinta tidak semestinya dimiliki,” kata Nora dipetik dari portal mStar Online.

Difahamkan, pelakon cantik itu enggan mengulas lanjut mengenai punca perpisahan kepada pihak media.

Sejak kebelakangan ini, persoalan mengenai status perhubungan pasangan itu menjadi bualan netizen, apabila Nora mahupun Nedim tidak memuat naik foto bersama di laman Instagram masing-masing.

Nora mempunyai seorang anak iaitu Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram, hasil perkahwinannya terdahulu dengan Rizal Ashram Ramli.

Pasangan itu bercerai pada 10 Julai 2008.

Anak kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz itu juga merupakan seorang duda anak satu selepas bercerai pada tahun 2013.