KUALA LUMPUR:Mengumpul setem merupakan hobi lama yang menjadi simbol rakaman kenangan peristiwa sejarah di seluruh dunia.

Sedar atau tidak, ia juga menjadi penguat cinta dan tanpa setem, urusan mengirim surat bertanya khabar serta melepas rindu tidak dapat diselesaikan.

Peranan setem dalam komunikasi satu masa dahulu tidak dapat dinafikan sesiapa.

Ia membabitkan rangkaian industri perniagaan yang amat luas namun peranannya semakin dilupakan dari hari ke hari.

Oleh sebab itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat), Datuk Paiman Keromo menjelaskan, Muzium Setem yang sedang dibina dan dijangka siap pada 2025 bakal menjadi pencatat sejarah berita yang terjadi di sekeliling masyarakat.



"Setem sebagaimana yang semua tahu sejarahnya adalah merupakan suatu media, yang membolehkan kita semua berhubung sama ada dalam bentuk berita, rencana, laporan, data-data dan segala apa juga urusan di sekeliling kita. Kalau dahulu bercinta pun kena pakai setem.

"Sebab dengan adanya setemlah semua perhubungan yang saya sebut tadi dapat dihantar dan diterima. Peranan setem ini akhirnya membabitkan rangkaian industri perniagaan yang amat luas.

"Misalnya pembinaan pejabat-pejabat pos, peti ais, kilang percetakan, industri samput surat dan sebagainya. Menariknya alamat pos juga dikira jaraknya dari batu kosong yang ada di depan pos.

"Malangnya peranan setem pada masa ini telah mula dipinggirkan. Maka dengan inilah wajar semua ini diabadikan dalam sebuh gedung untuk kajian dan tontonan generasi akan datang," katanya.


Jelasnya, cetusan idea penubuhan muzium setem adalah dari ke bawah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mempunyai koleksi setem yang unik dan bernilai tinggi.

Kata Paiman, Selangor juga merupakan negeri yang terawal menubuhkan Selangor Stamp Club sekitar tahun 1940-an.

Reka bentuk bangunan muzium setem itu merupakan ilham Paiman dari reka bentuk lipatan sampul surat.



Sementara, konsep landskap muzium diambil dari berbagai-bagai gambar yang tertera di atas setem tersebut seperti dari fauna, flora dan arca-arca.

Muzium ini telah mula dibina di kawasan bersebelahan Pejabat Pos Besar Shah Alam dan dijangka beroperasi sewal-awalnya pada penghujung tahun 2024 atau awal tahun 2025.

Dalam pada itu kata Paiman, pihaknya kini menjemput dan mempelawa mana-mana individu dan pengumpul barangan koleksi setem dan perkhidmatan pos mengemukakan seterusnya menyumbang koleksi berkaitan secara percuma, pinjaman atau sewaan.

Jelanya, bagi menggalakkan usaha ini, individu yang menyumbang koleksi secara percuma akan menerima surat perakuan dan sijil penghargaan khas dari pihak Padat.

"Kita sasar beberapa jenis barang atau koleksi artifak orang ramai, pertama sekali kita kategorikan bentuk setem, sampul surat atau poskad dan sebagainya.

"Kedua barangan 'postal', misalnya kita perlu basikal, motor, peti surat dan juga cop-cop semasa di pejabat pos dan juga surat perjanjian, dahulu banyak surat perjanjian, surat mati setem dahulu menggunakan setem betul.

"Seterusnya ada banyak gambar-gambar lama berkaitan postal dan setem yang susah hendak dicari seperti pakaian posmen," jelasnya.





Pihak yang berminat untuk menyumbang bolehlah layari laman web padat di www.padat.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai senarai koleksi dan artifak yang diperlukan serta cara-cara untuk menghantarkan koleksi.

Sebarang pertanyaan lanjut berhubung sumbangan koleksi bolehlah hubungi Pegawai
Penyelaras Muzium Setem di nombor 03-55190050 atau 019-233 3554 (Abdullah Anas Abu Bakar) atau 019-7373208 (Faeka) atau menerusi emel di [email protected] / [email protected].