KUALA LUMPUR: Iklan raya terbaharu daripada studio animasi tempatan MONSTA bertajuk 'Papa Pipi Pindah' berjaya meraih 13 juta tontonan dalam masa 24 jam selepas dimuat naik di laman media sosial seperti Youtube dan Tik Tok.

MONSTA dalam kenyataan hari ini memaklumkan menerusi klip video tersebut, ramai rakyat Malaysia turut meluahkan rasa sedih dan simpati kepada Papa Zola iaitu watak utama iklan raya tersebut.

" Papa Zola telah kehilangan tempat tinggal dan pekerjaan tetap di zaman yang serba mencabar dengan mereka turut sama berkongsi pengalaman yang seakan sama dengan situasi watak ikonik tersebut di ruangan komen," katanya.

Pengarah Media MONSTA Faiz Zainal Aabidin berkata beliau juga berasa tersentuh dengan sambutan iklan raya berkenaan yang berjaya menambat hati terutamanya golongan dewasa.

"Watak Papa Zola sangat sinonim dengan topik kekeluargaan dan realiti kehidupan. Reaksi orang ramai bersetuju bahawa Papa Zola adalah watak yang lebih realistik dengan penceritaan yang berkisar mengenai topik hangat masa kini.

"Di mata para pengikut Papa Zola, dia mungkin bukan adiwira galaksi tetapi dia adalah adiwira di hati keluarganya," katanya.

Menurut MONSTA, Papa Zola dahulunya bekerja sebagai kapten kepada TAPOPS (Tracker and Protector of Power Spheras) telah meletakkan jawatan akibat desakan para penonton yang tidak mahu melihat gelagat geli hati watak tersebut yang tidak serius dalam pengembaraan adiwira terkenal, BoBoiBoy.

Pekerjaannya sebagai seorang guru sekolah juga telah ditamatkan kerana ketidakhadiran di sesi persekolahan sepanjang menjalankan misi di angkasa lepas.

Iklan raya 'Papa Pipi Pindah' turut menyelitkan adegan filem 'Papa: GAME ON' yang dijangka akan berada di pawagam seluruh Malaysia pada awal 2025.

-- BERNAMA