MASALAH dengan media sosial ialah imej boleh dikongsi dengan mudah dan tidak semuanya sesuai dengan umur penerima.

Di Instagram isu ini semakin serius dengan golongan bawah umur diancam antun seksual oleh golongan pedofil yang menghantar imej lucah menerusi DM.

Hari ini, Meta mengumumkan ciri menapis imej lucah yang mungkin diterima pengguna bawah umur menerusi ciri mesej peribadi ini.



Sistem Instagram akan mengenal pasti imej yang dihantar menggunakan DM.

Jika ia didapati konsisten dengan imej lucah, secara lalai ia akan dikaburkan dengan label mengatakan ia mungkin mengandungi kandungan yang tidak ingin dilihat pengguna.

Secara lalai ia diaktifkan pada akaun pengguna Instagram bawah 18 tahun.

Penerima kemudian boleh melaporkan mereka menerima imej lucah kepada Instagram untuk diambil tindakan.

Selain penerima, penghantar juga diberikan notifikasi jika Instagram mengesan mereka menghantar imej lucah. Mereka kemudian boleh memadam imej yang telah dihantar.

Satu lagi ciri ialah mesej akan dipaparkan pada skrin jika ada percubaan untuk menyebarkan imej lucah kepada pengguna lain.



Selain melindungi pengguna bawah umur, ciri ini juga boleh diaktifkan oleh pengguna dewasa yang tidak ingin menerima mesej lucah.

Imej sebegini mungkin dihantar sebagai cara untuk melakukan gangguan seksual. Ia turut dibangunkan untuk mengelakkan penerima menjadi mangsa peras ugut jika mesej ini dibalas dengan imej lucah peribadi.

Di Malaysia beberapa kes peras ugut menggunakan cara ini telahpun dilaporkan berlaku.

Menjadi ibu bapa dan penjaga dalam dunia internet 2.0 adalah sangat mencabar. Ini sebab mengapa pemantauan peranti milik kanak-kanak di bawah jagaan adalah penting.

Jika tidak mampu, cuba jangan berikan mereka akses kepada media sosial yang kini sangat berbahaya. -Amanz