Isteri Nubhan dedah pertama kali dicerai ketika hamil, nafi orang ketiga jadi punca

Dr Afifah turut menafikan keretakan rumah tangga berpunca daripada kehadiran orang ketiga namun hanya salah faham mereka berdua.
SEPANG: Isteri kepada penyanyi Nubhan iaitu Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek akui masih sayangkan keluarganya walaupun selepas lafaz talak kedua.
Dr Afifah turut menafikan keretakan rumah tangga berpunca daripada kehadiran orang ketiga namun hanya salah faham mereka berdua.
“Kadang-kadang rumah tangga ini ada pasang surut tapi saya masih sayangkan keluarga saya.
“Berkenaan orang ketiga, mungkin salah faham. Sebab masa kali pertama itu saya sedang mengandung anak pertama ketika di usia kandungan enam bulan," katanya ketika ditemui Gempak.Dr Afifah berkata demikian setelah selesai perbicaraan pertama di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada Khamis.
Menjawab mengenai proses perdamaian, Dr Afifah menyerahkan keputusan pada pihak mahkamah.
“Sebab dia (Nubhan) dah failkan di mahkamah, jadi kita tengoklah apa kata mahkamah nanti.
Susulan itu, Dr Afifah enggan menggulas lanjut mengenai nafkah Nubhan pada anak-anak.
Pada prosiding yang berlangsung itu, Hakim Syarie Tuan Muhamad Nazri Basrawi menetapkan 2 Disember depan sebagai tarikh perbicaraan bagi kes berkenaan.
Dalam prosiding tersebut, Nubhan selaku plaintif diwakili oleh peguam syarie Mohd Redzuan Ramli, manakala pihak defendan (Dr Afifah) diwakili oleh peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kadir.
Sebelum ini, Akberdin memaklumkan Nubhan pernah melafazkan cerai terhadap isterinya pada tahun 2017, namun pasangan itu kembali rujuk dalam tempoh idah.
Menurut peguam syarie itu, Nubhan memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah yang didakwa berlaku dalam sebuah kereta pada 26 Ogos lalu.
Katanya lagi, perceraian kali ini berlaku secara baik tanpa sebarang konflik besar, sebaliknya berpunca daripada perselisihan faham dalam rumah tangga.
Nubhan dan Dr Afifah yang juga seorang doktor gigi mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015.
Hasil perkongsian hidup selama hampir 10 tahun, pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, dan Afzan Nayille, 3 tahun.
Sementara itu, Nubhan turut menepis dakwaan kewujudan orang ketiga yang menjadi punca perpisahan bersama isteri.
Menurut Nubhan, perkara itu tidak berlaku sama sekali dan meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung punca sebenar perpisahan mereka.
“Itu tidak benar sama sekali. Saya faham banyak spekulasi dan berita penceraian saya ini mengejutkan ramai pihak.
“Orang boleh fikir macam-macam, cuma saya mohon semua hormati proses mahkamah yang sedang berjalan. Saya juga mengharapkan yang terbaik buat diri saya dan pihak sana,” katanya ketika ditemui Gempak.
Nubhan berkongsi perkara itu ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Selangor pada Khamis.
Nubhan turut memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai punca perpisahan memandangkan kes berkenaan masih dalam proses perbicaraan.
“Tiada siapa pun yang mahukan perkara seperti ini berlaku. Jadi saya tak boleh komen lebih kerana isu ini masih dibicarakan di mahkamah.
“Saya reda dengan apa yang sudah berlaku. Banyak hati yang perlu dijaga, jadi biarlah mahkamah yang menentukan,” ujarnya. - Gempak
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami