ENTERTAINMENT
Jangan sebab amarah, 'dibunuh' periuk nasi 60 orang - Sharnaaz

Sharnaaz Ahmad merasakan tindakan tersebut tidak wajar kerana para pelakon serta kru belakang tabir telah berusaha keras untuk menghasilkan sebuah karya yang berkualiti. -Media Hiburan
DISEBABKAN kemelut peribadi melibatkan pengarah Syamsul Yusof serta pendedahan daripada pelakon, Datuk Aaron Aziz, ramai warga maya kini dikatakan mahu merancang untuk memboikot filem "The Original Gangster".
Lantaran itu, salah seorang pelakon filem berkenaan, Sharnaaz Ahmad merasakan tindakan tersebut tidak wajar kerana para pelakon serta kru belakang tabir telah berusaha keras untuk menghasilkan sebuah karya yang berkualiti.

“Ada anak dan isteri ditinggalkan. Kerja dalam bahaya dan buat stunt yang membahayakan.
"Kualiti yang diberikan oleh semua team dan pengarah adalah yang terbaik Malaysia pernah cipta.
“Bukan gangster yang cuba diangkat, tetapi kualiti daripada gambar, pencahayaan serta aksi-aksi yang besar dan di luar skala biasa filem Malaysia,” tulisnya.

Katanya lagi, jangan disebabkan tindakan beberapa individu, semua pihak yang terlibat di dalam filem ini akan menerima kesannya.
“Jadi, sahabatku sekalian, aku yakin jika Malaysia tak mampu hargai karya dan penat lelah setiap kru, pelakon dan pengarah hanya disebabkan mulut satu dua orang yang ingin menghancurkan pengorbanan kami, itu sangat tidak adil.
“Di sini, aku sebagai pelakon, bagus atau tidak. Itu letak tepi. Ini soal tanggungjawab.
“Berlakon di Malaysia tak mungkin ada rumah mahligai atau swimming pool besar padang bola tapi kami berkarya sebab minat dan rasa tanggungjawab,” ujarnya lagi.

“Jadi, fikirkan sejenak, tergamak kah? Anda kena ingat wahai sahabatku sayang, ramai lagi mulut dalam team 'Original Gangster' perlu disuap seperti anak-anak dan isteri.
“Jangan sebab amarah anda, dibunuh periuk nasi 60 orang lagi di belakang tabir ini,” katanya lagi.

Malah, Sharnaaz turut menegaskan dia dan rakan-rakan pelakon yang lain tidak akan mengundurkan diri sebaliknya akan menyelesaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan. -Media Hiburan
Sumber & kredit foto: Instagram Sharnaaz Ahmad

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami