KUALA LUMPUR: Lumrah bagi mana-mana pasangan yang mendirikan rumah tangga tentu sekali mendambakan kehadiran cahaya mata bagi melengkapkan kehidupan mereka.

Kehadiran zuriat lazimnya disifatkan sebagai pengikat kebahagiaan suami dan isteri dan keinginan yang sama juga disuarakan artis popular tanah air, Elly Mazlein.

Selepas lebih setahun melayari kehidupan berumah tangga dengan Mohamad Azlan Che Nuh yang juga seorang guru, Elly dan suaminya masih bersabar menanti kehadiran anak.

Namun, sehingga kini, sepertinya belum ada tanda-tanda Elly akan hamil.

“Siapa sahaja yang tidak mahukan zuriat, tapi saya fikir belum sampai masanya untuk saya bercakap apa-apa mengenainya (kehamilan).

“Insya-Allah, jika ada khabar gembira tentu sekali saya akan berkongsi dengan rakan-rakan media dan peminat saya,” kata Elly atau lebih mesra disapa dengan panggilan Kak Lina Pom Pom kepada wartawan di ibu pejabat Astro di sini pada Selasa,

Dalam masa sama, Elly atau nama sebenarnya, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 40, memohon peminat-peminatnya mendoakan dia dan suami dikurniakan cahaya mata.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai dakwaan netizen kononnya sosok tubuhnya seakan memperlihatkan dia sesang berbadan dua pula, pantas pengacara program Super Lawak Muzikal 2 itu menafikannya.

“Mungkin sebab saya banyak makan, jadi orang cakaplah Kak Lina sedang mengandung. Tak betul semua itu,” ujarnya sambil disambut dengan ketawa besar.

Elly yang mula menempa populariti sebagai penyanyi menerusi lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan menyertai artis-artis ternama lain seperti Alif Sattar, Dina Nadzir, Cik B serta Isha Nosham dilantik sebagai jurucakap kempen Ramadan Raya Astro 2021 menjayakan Skuad Lembaran Baharu.