AKTRES popular Bollywood, Kareena Kapoor kini sedang menjalani kuarantin selepas disahkan positif virus mengancam nyawa, COVID-19.

Dalam perkembangan terbaharu, Kareena telah peroleh keputusan hasil ujian penjujukan genom bagi menyaring varian Omicron.

Menerusi laporan Brihanmumbai Municipal Corporation, hasil ujian terbabit membuktikan Kareena negatif varian baharu itu.

"Saya positif COVID-19 dan telah segera mengasingkan diri serta mematuhi protokol keselamatan.

"Saya memohon individu yang menjadi kontak rapat saya untuk membuat ujian saringan. Keluarga dan kakitangan saya semua sudah mendapat suntikan vaksin lengkap.

"Mereka tidak menunjukkan sebarang gejala. Syukur. Saya semakin baik dan harap terus sihat," kata Kareena menerusi kenyataan rasmi kepada media.

Selain Kareena, beberapa selebriti lain turut menjalani ujian saringan sama antaranya Amrita Arora, Seema Khan dan Maheep Kapoor.

Kesemua mereka positif COVID-19 selepas hadir ke parti yang dianjurkan sutradara popular Karan Johar baru-baru ini.

Karan turut mengeluarkan kenyataan rasmi menjelaskan dia bukan menganjurkan parti sebaliknya hanya makan malam bersama individu rapat.

"Saya sekeluarga telah mendapat vaksin lengkap dan melakukan ujian RTPCR, semuanya negatif.

"Malah, saya sendiri telah menjalani ujian dua kali untuk memastikan segalanya selamat dan keputusannya juga negatif.

"Hanya lapan orang yang saya jemput untuk ke rumah saya, ia bukan parti dan kami terus mematuhi protokol keselamatan. Kami semua terus memakai pelitup muka sepanjang masa," katanya.

Sehingga kini sebanyak 350 kes membabitkan varian Omicron dilaporkan di Delhi dan Mumbai, India.

Artikel asal disiarkan di Astro Gempak: Kareena Kapoor Positif COVID-19, Buat Ujian Genom Sebab Takut Varian Omicron! Hasilnya ...