KUALA LUMPUR: Sedia untuk menyelami alam penuh keterujaan dan keajaiban Keluang Man bersama Astro Shaw dan jenama kopi terkemuka Wonda Coffee?

Ikon adiwira tempatan yang terkenal dengan keberanian, ketabahan dan kekuatan sekitar tahun 1990-an kini bakal menemui peminat-peminat cilik di KidZania, Mutiara Damansara, di sini.

Naib Presiden, Ketua Astro Shaw dan Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, berkonsepkan 'interaktif', Keluang Man bukan sahaja akan mendekatkan generasi baharu malah menjadi inspirasi kepada kanak-kanak menerusi aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

"Kami berbesar hati apabila filem Keluang Man diberikan ruang untuk dipamerkan di KidZania dan usaha ini mampu memperkenalkan superhero ikonik Malaysia kepada generasi baru.

"Pelbagai strategi kreatif dan aktiviti menarik menerusi kolaborasi antara Astro Shaw dan Wonda Coffee.

"Antaranya ialah peminat boleh mencalonkan individu yang telah memberikan impak dalam masyarakat dan layak untuk dinobatkan sebagai Keluang Man of the Month di Gempak.com, dan pemenangnya akan diumumkan menerusi program Gempak Most Wanted di Astro Ria," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran zon wall climbing Keluang Man di KidZania di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut,  Raja Jastina berkata, inisiatif itu adalah bertujuan untuk mengiktiraf wira Malaysia yang tidak didendang dan mempunyai kualiti sama dengan Keluang Man yang berani.

Katanya, menerusi kerjasama terkini bersama Astro Shaw dan Wonda Coffee yang merupakan jenama kopi terkemuka Malaysia yang menawarkan rasa kopi seperti baru dibru hari ini membawakan rakyat Malaysia pengalaman eksklusif hanya di KidZania.

“Kami sangat teruja untuk berkolaborasi dengan pengeluar dan pengedar minuman terkemuka Malaysia, Etika dalam memacu transformasi kandungan filem di Malaysia.

"Usahasama ini adalah permulaan yang kukuh buat Astro Shaw dalam menetapkan standard baharu bagi rangka pemasaran filem yang lebih inovatif. Kami percaya jenama Keluang Man dan Wonda Coffee mempunyai persamaan iaitu mengutamakan elemen lokal dan ia amat dekat dengan masyarakat Malaysia.

"Dengan memanfaatkan pengalaman Astro Shaw dan Etika, kami yakin kolaborasi ini mampu mencapai objektifnya," tambahnya.

Pada masa sama, Raja Jastina turut mengajak orang  ramai untuk menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan termasuk wall climbing bertemakan Keluang Man di KidZania.

"Saya ingin mengajak semua untuk sama-sama menghayati semangat adiwira dalam diri mereka menerusi aktiviti ini," ujarnya.