PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi Dan Digital akan meneliti soal pembayaran royalti kepada golongan pemuzik tanah air termasuk keluarga Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Menterinya, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan dalam masa terdekat bagi meneliti perkara tersebut.

"Kerajaan akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi meneliti soal pembayaran royalti terhadap golongan pemuzik tanah air termasuk waris kepada Allahyarhan Tan Sri P.Ramlee. Perkara itu juga akan diteliti bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

"Isu ini bukan hanya memberi kesan kepada waris keluarga Allahyarhan Tan Sri P. Ramlee tetapi juga pemuzik lain.

"Saya akan bermesyuarat dengan Menteri KPDN minggu depan untuk membentuk jawatankuasa bagi meneliti aspek pembayaran royalti serta pembangunan industri muzik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media pasca-mesyuarat Kabinet di kementeriannya pada Jumaat.

Sebelum ini, KPDN menyatakan untuk melihat secara menyeluruh berhubung masalah yang membelenggu golongan berkenaan.

Perkara itu juga meliputi aspek hak cipta melalui penubuhan jawatankuasa bertindak.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, usaha itu dibangkitkan menerusi program Daya Kreatif: Townhall Pengkarya (Penggiat Muzik Rakaman) anjuran aktivis seni muzik, Langkah Baru yang dihadiri lebih 80 penggiat seni di Putrajaya.

Selain itu, jawatankuasa berkenaan dikatakan turut melibatkan penggiat industri antaranya komposer, penyanyi dan syarikat rakaman.