PETALING JAYA: Mahkamah Majistret di sini pada Selasa, menggugurkan pertuduhan terhadap pengacara, Awal Ashaari berhubung kes melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar pondok pengawal milik pengurusan sebuah perumahan di Damansara, tahun lalu.

Perkara itu disahkan peguam, Datuk M Reza Hassan yang mewakili Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari ketika dihubungi pemberita.

"Ia berikutan pihak pengadu dalam kes berkenaan telah menarik balik aduan terhadap Awal kerana perkara itu telah diselesaikan," katanya.

Susulan itu, beliau berkata, pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan terhadap Awal, 42, dalam prosiding yang dijalankan di hadapan Majistret Farah Azura Mohd Saad.

Pada 17 Mei tahun lalu, Awal didakwa melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar milik pengurusan Challis Damansara dengan kerugian sebanyak RM600 di pondok pengawal perumahan itu di Jalan PJU 3/30, pada jam 11.30 pagi 16 April 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di laman Instagram milik personaliti itu, Awal memuat naik gambar bersama peguamnya dengan hantaran menyatakan kes dihadapinya telah selesai.

"Alhamdulillah, hari yang baik buat kami semua, setelah sekian lama kes saya telah selesai kerana pertuduhan terhadap saya telah ditarik balik di mahkamah ini pagi ini.

"Terima kasih kepada semua, semoga Allah merahmati kita semua, kepada (peguam saya) Datuk M Reza, terima kasih kerana sentiasa menyokong saya," katanya.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian