Sekuel filem box-office KL Gangster dan KL Gangster 2 dijangka ditayangkan seminggu selepas Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Pengarah Urusan Skop Productions Sdn Bhd, Datuk Yusof Haslam berkata KL Gangster 2 kini dalam proses akhir pembikinan dan menunggu hak wajib tayang.

"Komitmen kepada KL Gangster 2 menyebabkan anak saya yang juga pengarah filem berkenaan, Syamsul tidak dapat menyertai sesi perbincangan Bicara Filem anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sempena anugerah Seri Temasek di sini semalam," katanya.

Yusof menambah berbanding KL Gangster yang melibatkan kos RM2.5 juta dan 38 hari penggambaran, kos penerbitan KL Gangster 2 mencecah RM4 juta dengan lebih 68 hari penggambaran.

Sempena majlis anugerah itu, Finas menayangkan KL Gangster yang meraih kutipan box office RM12 juta dan filem itu mendapat pujian penggemar filem Melayu Singapura yang hadir mengikuti sesi bicara filem itu.

Seorang peminat filem Singapura yang mengikuti program perbincangan Bicara Filem berkenaan yang hanya memperkenalkan diri sebagai Sofia mengucapkan tahniah kepada delegasi Malaysia di atas kehebatan filem KL Gangster.

"Filem KL Gangster mempunyai perspektif berbeza dari filem Melayu sebelum ini di mana jalan ceritanya boleh diagak dan membosankan penonton," katanya.