KUALA LUMPUR: Kemasukan pelajar antarabangsa ke institusi pendidikan tinggi (IPT) di negara ini tertakluk kepada proses saringan ketat bagi memastikan hanya calon berkelayakan diterima, sekali gus mengelakkan mereka daripada menjadi beban kepada negara.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Prof Dr Azlinda Azman berkata penekanan khusus diberikan terhadap pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif serta tahap penguasaan bahasa Inggeris sebagai syarat kelayakan utama bagi memelihara kualiti pendidikan tinggi negara.
“Kami mahu memastikan standard kualiti berada pada tahap terbaik dan tidak mengambil pelajar secara sembarangan sehingga akhirnya menimbulkan masalah atau bebanan kepada negara,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Sidang Kemuncak Pendidikan Kuala Lumpur di sini hari ini.
Azlinda ketika mengulas mengenai syarat bahasa berkata semua penuntut luar negara, termasuk pelajar pascasiswazah diwajibkan mengikuti kursus Bahasa Melayu selama satu semester sebaik mendaftar di universiti tempatan, khususnya universiti awam.
Beliau berkata langkah itu bagi membolehkan mereka berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan untuk urusan harian, selain memupuk kefahaman terhadap kepelbagaian budaya masyarakat tempatan.
“Menariknya, kebanyakan pelajar antarabangsa ini berjaya meraih keputusan cemerlang dalam subjek berkenaan kerana bahasa Melayu sebenarnya mudah untuk dipelajari,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Education Malaysia Global Services (EMGS) serta NAMA Foundation giat menggembleng usaha mencari penyumbang dana bagi menawarkan skim biasiswa penuh dan separa kepada penuntut antarabangsa.
Azlinda berkata inisiatif pembiayaan itu berupaya menampung kos sara hidup pelajar, sekali gus memacu sasaran menarik 500,000 pelajar antarabangsa menjelang 2035 di bawah Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035, berbanding kira-kira 170,000 orang ketika ini.
Menurut Azlinda, penempatan pelajar turut diselaraskan mengikut bidang tujahan universiti, seperti sains marin di Universiti Malaysia Terengganu serta kecerdasan buatan di Universiti Sains Malaysia dan Universiti Asia Pasifik.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif EMGS Novie Tajuddin berkata Malaysia mencatat sejarah sebagai negara pertama di dunia menubuhkan Pusat Ketibaan Pelajar Antarabangsa (ISAC) yang beroperasi 24 jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi melancarkan urusan kemasukan pelajar luar.
“Ini adalah inisiatif unik yang tidak pernah dilaksanakan oleh negara luar dan menjadi nilai tambah dari segi hospitaliti yang membezakan Malaysia dengan destinasi pengajian lain,” katanya.
Beliau berkata kemudahan yang diperkenalkan sejak tahun lepas itu beroperasi menerusi tiga syif dengan sokongan empat laluan khas imigresen.
Selain itu, Novie berkata tumpuan terhadap kebajikan pelajar membolehkan Malaysia melonjak daripada luar kelompok 20 teratas dunia kepada kelompok 14 negara utama (Big 14), selain berada dalam kedudukan tiga teratas dunia bagi kadar pertumbuhan kemasukan pelajar antarabangsa tahunan serta tempoh lima tahun.
Pada 2025, EMGS menerima lebih 95,000 permohonan pelajar antarabangsa, iaitu peningkatan kira-kira 17 peratus berbanding 2024, sekali gus menyaksikan negara kini menempatkan lebih 167,000 penuntut asing dari lebih 180 negara.
Pada persidangan hari ini, sebanyak enam universiti memeterai memorandum perjanjian (MoA) bersama EMGS dan NAMA Foundation bagi menyokong pembiayaan serta kebajikan penuntut asing.
-- BERNAMA