Ramai yang tidak sabar dan teruja untuk menyaksikan konsert kumpulan Rock antarabangsa, Metallica yang akan berlangsung malam ini di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Peminat yang menghadiri konsert pada malam ini boleh sama-sama berkongsi aksi-aksi menarik dan kemeriahannya di media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter dengan menggunakan hashtag #MetallicaKL.

Tiket-tiket sudah pun habis terjual walaupun tarikh konsert itu diadakan pada hari bekerja.

Ini merupakan kali pertama, Metallica mengadakan konsertnya di Malaysia dalam siri jelajahnya ke negara Asia.

Sebelum ini pelbagai tumpuan diberikan kepada Singapura, apabila Metallica mengumumkan bakal mengadakan konsert di sana.

Namun, Metallica membuat kejutan apabila memilih Malaysia terlebih dahulu daripada Singapura.

Metallica yang dianggotai oleh James Hetfields (penyanyi, gitaris), Lars Ulrich (dram), Kirk Hammett (gitaris) dan Rob Trujillo (basis) dikatakan telah membuat pengumuman rasmi mengenai tarikh konsert itu menerusi laman web mereka iaitu www.metallica.com.

Selepas berkunjung ke Kuala Lumpur, Metallica yang terkenal dengan album seperti Masters of Puppets, Ride The Lightning dan Justice For All, akan mengadakan konsert di Singapura pada 24 Ogos ini.