Mungkin ada di antara anda yang pernah menyaksikan konsert gergasi Penghibur Nombor Satu Asia, Allahyarham Sudirman Hj. Arshad di Chow Kit Road pada tahun 1986.

Kisah konsert penuh fenomena itu diangkat ke pentas teater dan diolah menjadi sebuah jalan cerita yang menarik untuk sebuah pementasan mega di Istana Budaya.

Mendapat ilham selepas menonton filem ‘Hoore! Hoore!’, teater muzikal ‘Chow Kit Road’ memberi penekanan terhadap kehidupan di sebalik sarang maksiat, dadah dan keadaan kotor di Chow Kit.

Diarahkan oleh pengarah Saw Teong Hin, teater ini juga memberi peluang kepada generasi muda untuk merasai kemeriahan yang telah dicipta oleh penyanyi legenda ini.

Lebih 20 lagu yang pernah dipopularkan oleh Sudirman akan diperdengarkan dengan gubahan muzik yang baru.

Membariskan pelakon seperti Adibah Noor, Nadia Aqilah, Tony Eusoff dan Anding, teater ini akan dipentaskan di Istana Budaya pada 10 hingga 26 Mei depan.

Tiket-tiket boleh didapati mulai penghujung Januari ini dengan harga RM50, RM100 dan RM170.