RAMAI peminat muzik metal tanah air sebenarnya mengeluh sebaik berakhirnya konsert kumpulan terkenal dari Jerman, Kreator, Khamis lalu memandangkan tempoh persembahan hanya berdurasi sejam lebih sahaja.

Namun tak siapa dapat menafikan bahawa persembahan yang dihidangkan pada malam itu cukup luar biasa - memukau dan bertenaga - biarpun usia ahli kumpulan masing-masing sudah melepasi 50 tahun.

Pihak media sendiri sebenarnya cukup terkejut dengan stamina dan aksi mereka yang konsisten sepanjang persembahan, tanpa menunjukkan tanda-tanda kepenatan.

Maklumlah semua 15 lagu yang dihidangkan bukanlah berentak perlahan atau diselang seli dengan aksi sederhana, sebaliknya berentak pantas dan heavy belaka.

Miland "Mille" Petrozza, Jürgen "Ventor" Reil, Sami Yli-Sirniö dan Frédéric Leclercq yang menunjangi jenama Kreator tidak sedikit pun memberi ruang kepada peminat untuk berehat.

Sebaliknya mereka terus menghambur - melepaskan segala 'amarah' seumpama mesingan yang terus memuntahkan peluru sebagai tanda ‘terima kasih’ kepada peminat yang selama ini menyokong karier kumpulan itu.

Menganjak usia yang hampir menjangkau 60-an, tidak terbayangkan Mille Petrozza begitu gagah dan bertenaga sekali membanting lagu demi lagu dengan stamina yang tak terbatas.

Persembahan lagu “People of The Lie” misalnya dari album Coma of Souls, mengembalikan satu perasaan ‘kembali 20 tahun muda’ seperti menaiki mesin waktu pulang ke era 90-an.

Ia cukup menghiburkan lebih 2,000 peminat mereka yang hadir pada malam tersebut.

“Kuala Lumpur!” seru Mille Petrozza... “Kreator has returned!," kata-kata itu mengundang jerit-pekik yang bergema di seluruh Zepp KL... 'gemanya' seolah-olah kedengaran sehingga kini!

Sekalung tahniah dan pujian juga sebenarnya harus diberikan kepada pihak penganjur Rockstage Entertaiment yang menyajikan mutu dan sistem bunyi serta pencahayaan yang cukup luar biasa.

Ia juga turut diakui oleh anggota Kreator sendiri sejurus selepas konsert berkenaan sebelum berlepas ke Indonesia untuk persembahan seterusnya.