'Kumbang Bunga' tercalon di Indonesia , buktikan irama tradisional terus mekar

Kumbang Bunga, naskhah ciptaan komposer Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh tersenarai dalam tiga pencalonan di Indonesia Dangdut Awards (IDA) 2025. - Foto FB Siti Nurhaliza
SHAH ALAM: Tatkala ramai menganggap irama tradisional hampir tenggelam di celah arus muzik moden, lagu Kumbang Bunga, hasil kolaborasi sulung Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin bersama-sama dengan bintang dangdut popular Indonesia Lesti Kejora, membuktikan sebaliknya.
Ringkasan AI
- Lagu Kumbang Bunga, hasil kolaborasi antara Siti Nurhaliza dan Lesti Kejora, menggabungkan irama Melayu, inang, dan dangdut, meraih lebih 1.3 juta tontonan di YouTube dalam sebulan.
- Lagu itu turut mendapat tiga pencalonan di Indonesia Dangdut Awards 2025, termasuk dalam kategori Lagu Dangdut Terpopuler.
- Siti Nurhaliza menyifatkan kolaborasi tersebut sebagai usaha untuk memperkasa muzik tradisional yang semakin jarang diketengahkan.
Melahirkan kesyukuran atas sambutan diterima, ibu kepada Siti Aafiyah Khalid dan Muhammad Afwa Khalid ini menyifatkan pengiktirafan di peringkat serantau itu sebagai tanda penghargaan terhadap usaha berterusannya dalam memperkasa muzik tradisional yang semakin jarang diketengahkan.
"Saya rasa bersyukur kerana ia adalah satu kolaborasi yang saya dah rancang lama dan akhirnya jadi kenyataan. Alhamdulillah, kami dapat pencalonan untuk anugerah di Indonesia yang akan berlangsung pada bulan Disember nanti," katanya kepada Bernama
Ditemui pada Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Profesor Adjung Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, baru-baru ini, Siti Nurhaliza menyifatkan sambutan positif terhadap lagu dan albumnya bergenre tradisional membuktikan peminat masih menantikan karya berteraskan warisan budaya.
"Respons yang diterima daripada awal kita keluarkan single pun dah luar biasa. Nampaknya, ramai yang menantikan album dan nyanyian saya dalam lagu kontemporari dan tradisional.
"Saya harap album ini boleh pergi lebih jauh dan mendapat penerimaan sehebat Cindai, bukan sahaja di Malaysia tapi di seluruh nusantara," kata penyanyi yang telah merangkul lebih 300 anugerah dalam dan luar negara sepanjang hampir 30 tahun dalam industri hiburan negara.
Mengulas mengenai konsep muzik lagu berkenaan, Biduanita Negara ini berkata penyatuan dua suara dan jiwa dalam Kumbang Bunga yang diterjemahkan menerusi gabungan nuasa Malaysia dan Indonesia ini, mengambarkan keunikan dua budaya penyanyi serumpun.
"Memang ada elemen dangdut dalam lagu itu tetapi ada juga irama Melayu dan Inang. Bahagian dangdut itu khusus untuk Lesti manakala elemen Inang dan nyanyian Melayu pula, lebih kepada saya. Itulah tujuan utama lagu duet ini," jelasnya.
Berkongsi mengenai kerjasama dengan Lesti, anak kelahiran Temerloh, Pahang ini menyifatkan penyanyi dari seberang itu sebagai seorang yang mudah memberikan komitmen sepanjang proses rakaman dan penghasilan muzik video.
Dalam pada itu, Siti Nurhaliza turut sama menzahirkan penghargaan kepada peminat dari seluruh rantau yang terus menyokong kerjayanya termasuk dalam usaha memperkenalkan muzik tradisional ke peringkat antarabangsa.
"Peminat saya di Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura sudah menerima lagu-lagu yang saya keluarkan sebelum ini sampai sekarang. Sekarang dengan teknologi moden tidak ada batas, boleh didengar di seluruh dunia," katanya.
Kumbang Bunga merupakan antara 10 lagu yang dimuatkan dalam album tradisional terbaharu Siti Nurhaliza berjudul Gema Bumantara, yang diluncurkan pada 28 Okt lepas, menjadi kesinambungan perjalanan seni penyanyi tersohor itu dalam memperkasa dan memperindah warisan muzik tradisional Melayu.
-- BERNAMA
Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
- Q: Berapakah jumlah tontonan lagu Kumbang Bunga di YouTube selepas dilancarkan? A: Lebih 1.3 juta tontonan dalam tempoh kurang sebulan.
- Q: Apakah kategori di dalam Indonesia Dangdut Awards 2025 yang lagu Kumbang Bunga tersenarai? A: Lagu Kumbang Bunga tersenarai dalam kategori Lagu Dangdut Terpopuler di IDA 2025.
- Q: Bagaimanakah Siti Nurhaliza menggambarkan kolaborasi dengan Lesti dalam lagu Kumbang Bunga? A: Siti Nurhaliza menyifatkan kolaborasi tersebut sebagai usaha untuk memperkasa muzik tradisional yang semakin jarang diketengahkan.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

