SEJAK Sabtu, menjadi trending di laman sosial, hashtag ‘lebaranbonda’.

Seperti kebiasaan, hujung pangkalnya menjadi tanda tanya kalangan netizen. Lagipun, ia sesuai dengan ramai yang ketika ini, menuju ke kampung halaman masing-masing dan berkumpul bersama-sama dengan ahli keluarga.

Begitu pun, Lebaran Bonda adalah tajuk lagu terbaharu, nyanyian Datuk Hattan, hasil karya Datuk M.Nasir dengan liriknya ditulis oleh Budi Hikayat yang juga penulis lirik bagi lagu Awan Nano.

Ketika dihubungi, Datuk Hattan tidak menyangka, ia menjadi bualan, selain tajuk lagu tersebut menjadi trending di Twitter yang sempat berkongsikan tentang pembikinan lagu tersebut.

“Walau agak ‘catchy’, lirik lagu tersebut, cukup menyentuh kalbu kerana ia berdasarkan kisah benar, “ jelas penyanyi yang sinonim dengan lagu balada, Memburu Rindu.

“Ia kisah benar rakan baik saya, Zainal Abidin Awang Kechik. Dia meminta untuk membuat lagu khas untuk ibunya yang sedang nazak di hospital.”


Jelas Hattan, lagu tersebut sempat didengarkan kepada ibu Zainal sebelum ibunya menghembuskan nafas terakhir.

Antara bait-bait lagu itu yang menusuk perasaan termasuk ... selagi ku bernafas bernyawa; pesan bonda azimat keramat Pesan bonda najam di jiwaku.

Sumber: YouTube
Sewaktu rakaman, Hattan berkata beliau merekodkan dahulu lagu itu sebelum mendapat kerjasama Datuk M. Nasir.

“Mungkin kerana keberkatan seorang ibu, lagu ini boleh jadi trending”, kata Hattan.

Sejak dimuat naik di laman YouTube pada 27 Jun lalu, lagu tersebut sudah mendapat lebih 4,000 tontonan.