VIDEO YouTube dengan tontonan paling tinggi dalam sejarah, Despacito, telah digodam sementara pada Selasa.

Penggodam dengan nama Prosox dan Kuroi’sh, menerusi Twitter, mengesahkan bertanggungjawab melakukannya.

Menurut portal BBC, apabila diklik, video lagu nyanyian Luis Fonsi dan Daddy Yankee itu memaparkan sebuah video dengan gambar sekumpulan lelaki bertopeng dengan beberapa mesej, antaranya 'Free Palestine'.

Hal itu telah menyebabkan video tersebut terpaksa dibuang dari YouTube buat sementara waktu.

Semakan terbaharu bagaimanapun mendapati video itu telah kembali dimuat naik dan sudah boleh diakses seperti biasa, malah jumlah tontonan sebanyak 5 bilion juga tidak terjejas.


Laporan beberapa portal antarabangsa menyebut, Despacito bukan satu-satunya video yang digodam. Video lain yang turut menjadi mangsa penggodam ialah video muzik lagu Chris Brown, Shakira, Selena Gomez, Drake, Katy Perry, dan Taylor Swift.

"Vevo mengesahkan beberapa buah video dalam katalognya telah digodam hari ini (semalam), dan kami bekerja keras untuk memastikan kesemuanya kembali pulih.

"Kami masih menyiasat tentang punca dan siapa yang bertanggungjawab," kata jurucakap Vevo seperti yang dilaporkan portal The Verge.