Ahli keluarga, teman rapat dan penghibur terkemuka memberi penghormatan terakhir kepada hos Hollywood terkenal, Joan Rivers dalam satu upacara pengkebumian di kota New York.

Antara penghibur terkenal yang hadir termasuk pelakon dan pelawak Whoopi Goldberg, bintang ‘Sex and The City’ Sarah Jessica Parker di majlis tersebut yang diadakan di Temple Emanu-El yang terletak di 5th Avenue.

Anak mendiang Rivers, Melissa dan cucu lelakinya Cooper turut hadir untuk memberikan penghormatan terakhir kepada penghibur itu.

Rivers meninggal dunia Jumaat lalu selepas beliau dilaporkan berhenti bernafas selepas menjalani prosedur yang melibatkan peti suaranya di sebuah klinik swasta di New York.

Antara penghibur yang turut hadir termasuk pelawak Kathy Griffin, Donald Trump, Barbara Walters dan hos ‘Fashion Police’ Kelly Osbourne.

Pelakon Hugh Jackman hadir dan mendendangkan ‘Quiet Please, There’s a Lady on Stage’ yang dipetik dari pementasan muzikal Broadway, ‘The Boy From Oz’.

Majlis penghormatan terakhir dibanjiri seramai 1,500 peminat Rivers. Jalan yang sesak turut dipenuhi krew media termasuk ‘papparazzi’ terpaksa dikawal ketat oleh pihak berkuasa.

Majlis pengkebumian tersebut diselenggarakan sekumpulan pegawai publisiti yang turut mengawasi kehadiran pihak media.

Rivers ada menulis dalam biopiknya, ‘I Hate Everyone … Starting with Me’ pernah dipetik sebagai berkata yang beliau mengimpikan sebuah pengkebumian bersifat hiburan’.

Petikan ini telah diguna pakai sebagai petikan yang dimuatkan dalam naskhah program pengkebumian itu.

Antara petikan Rivers yang terkenal: “I want paparazzi and I want publicists making a scene! I want it to be Hollywood all the way.”