ENTERTAINMENT
Masih ada lagu belum dilancarkan, Siti Nurhaliza terbuka bincang dengan SRC

Siti Nurhaliza (kiri) bersama Osman Ali (tengah) dan Komposer, Nurzaidi Abdul Rahman (kanan) pada sesi sidang media pelancaran OST dan Muzik Video filem itu hari ini. - Bernama.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan Suria Records (SRC) sekiranya ada perancangan kukuh bagi melancarkan semula lagu-lagu lamanya yang belum pernah diterbitkan.
Bagaimanapun, penyanyi tersohor negara itu menjelaskan sebarang usaha ke arah itu perlu mengambil kira vokalnya yang kini berbeza berbanding ketika rakaman asal dilakukan sewaktu di bawah label berkenaan.
"(Kalau dilancarkan tanpa rakaman semula), mungkin lainlah (ton suara) sebab itu bukan Siti Nurhaliza sekarang. Kalau diajak untuk dirakam semula, perlu perbincangan juga sebab proses rakaman ini mengambil masa," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran OST filem Telaga Suriram.
Menurutnya, beliau maklum akan kewujudan lagu-lagu yang belum dikeluarkan tersebut kerana kebiasaannya beliau akan merakam lebih banyak lagu daripada jumlah yang dimuatkan dalam album ketika di bawah syarikat rakaman tersebut."... bila saya habis (kontrak) dengan SRC saya pun sudah di bawah naungan sendiri dan kami pun tidak berbincang pasal hal itu. Akan tetapi, mereka pun sudah macam keluarga saya, jadi mungkin boleh berbincang dengan lebih baik," katanya.
Siti Nurhaliza berkata perkara itu juga perlu diperhalusi memandangkan beliau kini dalam perancangan untuk menghasilkan sebuah album tradisional yang perlu disiapkan mengikut jadual dan dijangka dilancarkan sebelum Disember tahun ini.
Pada masa sama, beliau juga tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya SRC mahu memberikan lagu-lagu tersebut kepada artis lain untuk dirakamkan semula, memandangkan hak cipta lagu berkenaan adalah milik syarikat rakaman itu.
Pada Sabtu lepas, media melaporkan SRC masih menyimpan kira-kira 11 buah lagu nyanyian penyanyi nombor satu negara itu yang belum dilancarkan serta tidak menolak kemungkinan mengeluarkannya.
Sejak menyertai SRC selepas menjuarai Bintang HMI 1995, penyanyi Jerat Percintaan itu menghasilkan 11 buah album studio sebelum bernaung di bawah syarikat sendiri, Siti Nurhaliza Productions (SNP) selepas kontraknya dengan SRC tamat pada 2006.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami