KUALA LUMPUR:Ahmad Ibrahim yang lebih dikenali sebagai Mat London, berjaya mengekalkan jawatan Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) bagi penggal 2021-2022, selepas menang tanpa bertanding pada mesyuarat agung tahunan persatuan itu yang ke-23 semalam.

FDAM dalam satu kenyataan menyatakan, mesyuarat yang berlangsung di Auditorium Mini P. Ramlee Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu, dihadiri oleh 48 ahli aktif yang layak mengundi.

Turut dipilih menerajui badan berusia 30 tahun itu ialah Datuk Zulkeflie M. Osman sebagai Timbalan Presiden, Mohamad Zaini Hassan (Ketua Sekretariat), Saradha Sivalingam (Timbalan Ketua Sekretariat) dan Loganathan Kanabaty (Bendahari).

Menurut kenyataan itu, ahli jawatankuasa yang dipilih pula terdiri daripada Roslainur Roslan, Ahmad Hashim, Esma Danial Md Isa dan Sofia J. Rhyland.

"Dua lagi ahli jawatankuasa akan diisi secara lantikan presiden", kata kenyataan itu.

Ahmad ketika menyampaikan ucapan dasarnya menyentuh mengenai nasib pengamal industri yang terjejas, ekoran pandemik COVID-19 yang menular di seluruh dunia.

Beliau berkata sebagai langkah awal, FDAM akan meneruskan program yang telah dimulakan oleh Ahli Majlis Kerja FDAM sebelum ini, termasuk mengadakan perbincangan dengan Persatuan Penerbit Filem Malaysia untuk menyelaraskan tangga gaji pengarah.

"FDAM juga akan mengadakan usahasama dengan agensi kerajaan serta swasta, dalam mempelbagaikan lagi sumber pendapatan ahli dan persatuan.

"FDAM akan turut mengadakan kempen penyertaan golongan muda iaitu pengarah amatur, dengan mengadakan program khusus secara inkubasi bersama barisan pengarah profesional FDAM," katanya.

-- BERNAMA